Alex jalani pembedahan, Zarco cedera ligamen

Alex jalani pembedahan, Zarco cedera ligamen


Barcelona: Alex Marquez dan Johann Zarco dirawat di hospital selepas kedua-dua pelumba mengalami keretakan tulang dalam kemalangan berasingan yang menyebabkan Grand Prix Catalan dihentikan dua kali dengan bendera merah, semalam.

Pelumba Gresini Racing, Marquez gagal mengelak apabila jentera Pedro Acosta hilang kuasa sebelum dia merempuh bahagian belakang KTM itu, lalu terbabas ke arah dinding dan tercampak ke udara selepas hilang kawalan di kawasan kerikil.

Marquez segera dikejarkan ke hospital dan hasil imbasan mengesahkan dia mengalami keretakan kecil pada vertebra berhampiran leher selain retak tulang selangka kanan, dengan pelumba Sepanyol itu dikhabarkan akan menjalani pembedahan lewat malam tadi.

“Semua dalam keadaan terkawal. Saya dijadual masuk ke bilik pembedahan malam ini, tetapi saya berada dalam jagaan terbaik.

“Terima kasih atas keprihatinan anda semua dan mesej yang saya terima,” kata Marquez di X.

Selepas perlumbaan disambung semula, pelumba LCR Honda, Zarco terbabit dalam kemalangan apabila dia membrek lewat di selekoh pertama pada pusingan pembukaan sehingga menyebabkan pelumba Ducati, Francesco Bagnaia dan pelumba Honda, Luca Marini terbabit dalam kemalangan tiga pelumba.

Bagnaia dan Marini segera memberi isyarat meminta bantuan marshal litar selepas Zarco tergolek di kawasan kerikil dengan kakinya tersangkut pada jentera Bagnaia.

“Jangan risau, kami masih menunggu keputusan ujian. Saya memakai pendakap leher, dan ia lebih mengganggu daripada perkara lain.

“Bahagian utama adalah lutut, ligamen putus. Namun tulang femur tidak patah. Ada retakan kecil di bahagian bawah fibula, di luar buku lali kiri saya.

“Jadi, saya akan maklumkan perkembangan terkini. Sekadar mahu menenangkan anda semua. Lebih kepada kejutan berbanding perkara lain… saya akan berada di hospital malam ini kerana mereka mahu memantau keadaan saya,” kata Zarco di Instagram.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top