JAGUH powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dalam kategori lightweight lelaki di Sukan Komanwel Glasgow 2026, selepas ditewaskan atlet England, Mark Swan di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo di sini, hari ini.
Bonnie, juara Paralimpik dua kali itu merekodkan angkatan terbaik 220 kilogram (kg) untuk meraih 153.5 mata, manakala Swan merangkul pingat emas pertama temasya tersebut dengan angkatan 222kg dengan mengumpulkan 153.9 mata.
Roland Ezuruike dari Nigeria meraih pingat perak, selepas mengumpul 153.9 mata dengan angkatan terbaik 185kg.
Terdahulu, Bonnie gagal dalam percubaan terakhirnya pada bebanan 230kg.
Keputusan itu menamatkan impian juara dunia empat kali berusia 27 tahun dari Sarawak itu, untuk merangkul kejuaraan Sukan Komanwel secara berturut-turut, selepas meraih kejayaan di Birmingham 2022 dengan rekod temasya menerusi angkatan 220kg.
Malaysia menyasarkan lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa merentasi lapan daripada 10 sukan yang dipertandingkan, termasuk enam sukan para.
Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang dibuka secara rasmi semalam, akan berlangsung sehingga 2 Ogos. – Bernama






