fahmy.azril@bh.com.my
Kuala Lumpur: Ketua Pemuda UMNO Setiawangsa, Fadzmel Fadzil mengingatkan bahawa kerusi Parlimen bukan milik individu, sebaliknya amanah rakyat yang perlu ditangani secara serius serta berpandukan proses Perlembagaan.
Beliau berkata demikian susulan perkembangan politik membabitkan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang memutuskan untuk mengosongkan kerusi berkenaan selepas memutuskan keluar PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).
Menurut Fadzmel, beliau mendengar dengan teliti luahan Nik Nazmi berhubung perjuangan panjang serta keberanian memulakan langkah reformasi sebelum ini.
“Semalam, beliau berbicara tentang perjuangan panjang, keberanian memulakan langkah reformasi serta keputusan meninggalkan perjuangan lama kerana mendakwa reformasi yang diperjuangkan suatu ketika dulu kini hanya tinggal janji.
“Satu kebetulan yang menarik, suara sebegini hanya benar-benar kedengaran selepas beliau tidak lagi menjadi Naib Presiden PKR,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Susulan keputusan Nik Nazmi keluar dari PKR, Fadzmel memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai urusan dalaman parti lain, namun mengakui ramai bertanya mengenai kedudukan Nik Nazmi di kerusi Parlimen Setiawangsa sejak semalam.
Beliau menyerahkan kepada rakyat Setiawangsa kerana percaya mereka sendiri mampu menilai prestasi yang ditunjukkan Nik Nazmi sejak 2018.
“Dalam politik, rekod tidak boleh disolek dengan senang. Apa yang dibuat, rakyat tahu. Apa yang tidak dibuat, pun rakyat juga tahu.
“Kerusi Parlimen bukan tempat persinggahan politik dan bukan cagaran untuk rundingan selepas berlaku krisis dalaman parti. Ia adalah amanah rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






