Pemain Selangor FC, Alvin Fortes (kanan) meraikan kejayaannya menjaringkan gol pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad. Foto Bernama
PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon tampil memohon maaf secara terbuka kepada seluruh penyokong Selangor susulan kegagalan pasukan itu layak ke saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan.
Kegagalan tersebut hadir selepas skuad Gergasi Merah itu sekadar menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan ketiga sekali gus terlepas slot ke pentas pertandingan kelab Asia itu.
Bagaimanapun, Pan-gon menegaskan, beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan tersebut dan mengakui sedang dalam proses membentuk semula identiti serta ‘DNA Selangor’ sejak mengambil alih kerusi kejurulatihan.
“Bagi pihak pasukan, saya memohon maaf kepada penyokong dan Ultras Selangor kerana kami tidak dapat memberikan keputusan yang terbaik pada tahun ini.
“Sejak saya tiba di sini, kami cuba membina cara permainan Selangor, ciri-ciri Selangor dan DNA Selangor. Segalanya kami usahakan untuk kebaikan pasukan dan saya melihat ada perkembangan yang sangat baik,” katanya.
Menurut pengendali dari Korea Selatan itu, beliau berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan anak buahnya terutama dari segi falsafah bola sepak menyerang, dominasi serta kawalan permainan.
“Kita menjaringkan banyak gol, namun kita perlu perbaiki kelemahan supaya tidak mudah dibolosi.
“Saya minta penyokong jangan kecewa. Kita masih mempunyai harapan dan masa depan yang cerah. Sekarang kita akan fokus sepenuhnya kepada saingan akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC),” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Pan-gon turut menyeru penyokong agar terus bersatu padu dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi demi kelangsungan DNA bola sepak yang sedang dibina.
“Kita akan teruskan budaya ini, cara Selangor. Kita semua adalah satu keluarga, dan kita akan terus mara bersama-sama,” ujarnya.






