Serdang: Proses penanaman padi bagi Musim 1/2026 di Kedah dijangka dimulakan dalam masa terdekat, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata ketika ini lebih 50 peratus pesawah di Kedah telah memasuki proses pembajakan bagi memulakan penanaman padi di negeri itu.
“Sekarang sudah 50 peratus lebih dalam pembajakan dan dalam bendang telah ada air tetapi dari segi empangan belum lagi sampai ke tahap yang memuaskan.
“Bagaimanapun, dia (pesawah) akan memulakan tanaman tidak lama lagi sebab 50 peratus lebih dah bajak dan sekarang sedang berlaku (proses berkenaan),” katanya kepada pemberita selepas Program Hi-Tea “Pitch and Connect @ MAHA2026”, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan hampir 90 peratus pesawah di Kedah termasuk di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) belum memulakan penanaman padi bagi Musim 1/2026 susulan peningkatan kos operasi dan kekurangan bekalan air.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Abdul Rashid Yob berkata keadaan itu bukan sahaja menjejaskan jadual penanaman malah boleh memberi impak jangka panjang terhadap tahap sara diri beras (SSR) negara.
Mengulas tentang kelewatan penanaman padi itu, Mohamad berkata pada asasnya ia boleh menjejaskan SSR namun KPKM mempunyai cara untuk menangani perkara itu.
“Kalau tahap SSR itu berlaku kekurangan, Insya-Allah kita ada usaha untuk menampung kalau berlaku kekurangan,” katanya.
Sementara itu, berkenaan laporan aktiviti penanaman bunga di Cameron Highlands yang terjejas, Mohamad berkata beliau telah mengarahkan kementeriannya untuk mendapatkan maklumat dan menyemak mengenai perkara itu.
Menyentuh tentang penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026, Mohamad berkata acara yang akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 Sept itu menyasarkan potensi pelaburan bernilai RM8 bilion menerusi pelbagai inisiatif serta pameran berasaskan pemodenan teknologi pertanian tempatan dan global
Untuk rekod, MAHA 2024 mencatat 81 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan nilai pelaburan terkumpul berjumlah RM7.2 bilion.
MAHA merupakan acara dwitahunan yang dianjurkan setiap dua tahun sekali yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
© New Straits Times Press (M) Bhd






