GOLONGAN belia merupakan aset paling penting dalam menentukan hala tuju sesebuah negara dan mereka bukan sahaja dilihat sebagai pewaris kepimpinan masa hadapan, malah menjadi penggerak utama dalam pembangunan ekonomi, sosial, pendidikan dan teknologi.
Bagaimanapun, di sebalik itu semua pernahkah kita merenung sejenak, ke manakah arah generasi muda pada hari ini? Apakah yang sedang membentuk cara mereka berfikir?
“Hakikatnya Malaysia hari ini mempunyai sekitar sembilan juta belia atau hampir satu pertiga daripada jumlah penduduk negara.
“Ini bukan sekadar angka tetapi satu amanah besar yang akan menentukan kekuatan masa depan ummah dan negara.
“Dalam masa sama, kita sedang hidup dalam satu zaman yang berubah dengan sangat pantas. Dunia berkembang, teknologi melangkaui sempadan dan cara hidup manusia berubah dalam sekelip mata,” ujar khatib pada permulaan khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurut Jakim, generasi muda hari ini membesar dalam dunia yang sentiasa bergerak serta dunia yang penuh pilihan, pengaruh dan cabaran.
“Hampir keseluruhan masyarakat kini berada dalam talian dan media sosial menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.
PELBAGAI program yang dilaksanakan di masjid boleh membentuk jati diri dan ketahanan belia zaman sekarang.
“Apa yang dilihat setiap hari membentuk cara berfikir dan apa yang diulang-ulang akhirnya membentuk arah kehidupan,” katanya.
Cabaran hari ini
Namun, dalam semua peluang yang terbuka ini, ada satu hakikat yang jarang direnungkan iaitu tentang kehidupan belia hari ini bukan lagi kekurangan peluang, tetapi dipenuhi dengan gangguan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia.
Jakim menjelaskan, jika dahulu cabaran manusia ialah kekurangan maklumat, namun hari ini cabarannya berbeza iaitu lambakan maklumat tanpa sempadan.
“Jika dahulu manusia mencari hiburan, namun hari ini hiburan mencari manusia. Jika dahulu manusia mengawal perhatian, tetapi hari ini perhatian manusia yang dikawal.
“Inilah yang disebut sebagai krisis perhatian. Perhatian yang sepatutnya difokuskan kepada ilmu, ibadah dan tanggungjawab, kini terpecah kepada perkara yang tidak memberi nilai.
“Masa berlalu tanpa disedari, fokus semakin lemah dan disiplin semakin terhakis. Akhirnya manusia hidup sibuk, tetapi tidak membina apa-apa,” katanya.
Masjid bina arah hidup
Tegasnya, dalam dunia yang penuh gangguan ini, persoalan besar bukan sekadar apa yang dilihat oleh belia, tetapi apa yang membentuk jiwa mereka.
“Di sinilah pentingnya masjid sebagai institusi membina manusia. Masjid bukan sekadar tempat solat, tetapi tempat membina arah kehidupan.
“Masjid mendidik jiwa untuk tunduk kepada ALLAH, melatih disiplin melalui waktu solat dan membina kesedaran bahawa hidup ini mempunyai tujuan,” ujarnya.
Menurut Jakim, ayat ke-18 surah at-Taubah menjelaskan bahawa hubungan dengan masjid merupakan tanda hubungan dengan ALLAH dan daripadanya lahirlah kekuatan jiwa, kejelasan arah dan keteguhan prinsip.
“Belia rakan masjid bukan sekadar hadir ke masjid, tetapi belia yang dibentuk di dalamnya. Mereka belajar mengurus masa, menjaga solat, mengawal diri dan memelihara adab.

BELIA tunjang masa depan negara.
“Daripada proses ini lahir satu nilai yang sangat penting dalam kehidupan iaitu amanah. Amanah bukan hanya pada jawatan besar, ia bermula daripada perkara kecil yang sering dipandang ringan,” jelasnya lagi.
Amanah yang dikhianati
Tegasnya, mengurus masa dengan baik, mengawal diri daripada perkara yang melalaikan dan menyempurnakan tugasan dengan jujur merupakan amanah.
Khatib menjelaskan pengkhianatan amanah tidak semestinya berlaku dalam perkara besar.
“Ia sering bermula daripada perkara kecil yang berulang-ulang seperti masa dihabiskan tanpa tujuan, tanggungjawab dilengah-lengahkan, fokus terganggu dan disiplin semakin longgar.
“Semua ini mungkin kelihatan kecil, tetapi akhirnya menghakis keberkatan dalam kehidupan,” hurainya.
Al-Quran memberikan peringatan bahawa perkara dunia boleh melalaikan manusia daripada mengingati ALLAH, ujarnya.
“Maka dalam dunia yang penuh dengan media sosial, hiburan dan keseronokan tanpa batas, kita perlu kembali kepada pedoman yang jelas.
“Penyelesaian yang ditawarkan al-Quran bukanlah meninggalkan dunia, tetapi mengawal diri dalam dunia,” katanya.
Kembali kepada solat, masjid
Nasihat khatib, kembalilah kepada solat dan masjid kerana di situlah jiwa akan dibina semula, fokus akan diperbetulkan dan arah kehidupan akan dipandu dengan iman.

BELIA di Perak diberi peluang menyampaikan khutbah Jumaat kepada jemaah baru-baru ini sebagai menghargai peranan mereka dalam pembangunan ummah.
“Umat tidak akan lemah kerana kurang teknologi, tetapi lemah apabila hilang fokus dan arah. Umat tidak akan jatuh kerana kekurangan peluang, tetapi akan jatuh apabila gagal memanfaatkan masa dan ruang,” jelasnya.
Bersempena Hari Belia, Jakim mengingatkan umat islam agar bersama-sama mendidik diri dan generasi muda agar sentiasa dekat dengan masjid, menjaga solat dan memelihara amanah dalam kehidupan.
“Sesungguhnya generasi muda hari ini merupakan amanah besar yang akan menentukan masa depan ummah.
“Didiklah dengan iman, bimbinglah dengan ilmu dan peliharalah mereka daripada kelalaian. Belia yang menjaga arah hidupnya akan membina masa depan ummahnya.
“Dan akhirnya belia yang dekat dengan masjid, tidak akan mudah hilang arah dalam kehidupan,” tegasnya.





