DAPSY puji KKM, sokong penggunaan kad pelbagai bahasa di klinik kesihatan

DAPSY puji KKM, sokong penggunaan kad pelbagai bahasa di klinik kesihatan


Pemuda DAP (DAPSY) memuji langkah Kementerian Kesihatan (KKM) yang disifatkan berjaya menyeimbangkan dasar penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan keperluan etika perubatan di lapangan.

Hak rakyat Malaysia peroleh maklumat kesihatan

Kenyataan itu merujuk kepada penjelasan KKM berhubung isu tular Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak sebelum ini, jelas DAPSY di media sosial rasmi mereka.

“DAPSY menegaskan bahawa majoriti rakyat Malaysia sememangnya mampu berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan baik dan lancar.
“Namun begitu, hak untuk memperoleh maklumat kesihatan yang tepat tidak seharusnya dinafikan bagi sebahagian kecil masyarakat yang tidak fasih menggunakan Bahasa Kebangsaan,” katanya.

Penggunaan pelbagai bahasa bukan acaman buat Bahasa Melayu

DAPSY turut menyifatkan penggunaan pelbagai bahasa dalam sektor kesihatan bukan ancaman kepada Bahasa Melayu, sebaliknya satu keperluan bagi memastikan kefahaman pesakit terutama golongan warga emas.

Menurutnya, etika perubatan mengutamakan penyampaian maklumat yang jelas dan tepat bagi tujuan keselamatan pesakit, justeru bahasa perlu berfungsi sebagai alat komunikasi dan bukan penghalang.

Kenyataan itu turut merujuk kepada pendekatan ketika pandemik COVID-19, apabila penggunaan pelbagai bahasa digunakan dalam proses saringan dan komunikasi kesihatan bagi memastikan keberkesanan tindakan kesihatan awam.

Walau bagaimanapun, DAPSY menegaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kekal termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dipertikaikan.

“Ancaman sebenar terhadap Bahasa Melayu bukanlah penggunaan bahasa tambahan di klinik, tetapi sikap segelintir pihak yang memainkan isu ini secara politik tanpa memahami realiti kerja petugas kesihatan,” jelasnya.

Terdahulu, seorang pengguna TikTok memuat naik rakaman memaparkan kad janji temu pesakit yang dicetak menggunakan tulisan Mandarin di klinik kerajaan berkenaan.

Susulan isu tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi akaun Threads rasminya memaklumkan pihaknya sedang menjalankan semakan lanjut sebelum tindakan sewajarnya diambil.

Sumber: Facebook DAPSY Malaysia





Source link

OR

Scroll to Top