aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei memulakan kempen Malaysia Masters 2026 dengan kemenangan selepas menewaskan wakil Thailand, Busanan Ongbamrungphan 21-6, 16-21, 21-10 di Unifi Arena, hari ini.
Kejayaan dalam pertarungan selama 51 minit itu menyaksikan Jin Wei yang menghuni ranking ke-55 kini mencatat dua kemenangan daripada enam pertemuan menentang pemain berkenaan.
Jin Wei berkata, lawannya yang juga pilihan keempat itu dilihat tertekan pada set pertama sebelum kembali mendapatkan rentak sebenar pada set kedua.
“Set pertama saya rasa dia ada tekanan sedikit sebab banyak lakukan kesilapan.
“Set kedua dia dapat balik rentak dan dari situ permainan sebenar bermula. Pada set ketiga saya cuma cuba kuatkan mental untuk setiap mata,” katanya.
Menurut Jin Wei, dia juga tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi di kejohanan ini kerana sedar apa saja boleh berlaku ketika perlawanan.
“Saya rasa tak realistik kalau letak sasaran terlalu tinggi. Saya cuma mahu nikmati permainan sebab kita tak tahu apa boleh berlaku terutama dalam set penentuan,” katanya.
Jin Wei selepas ini akan berdepan wakil India, Ashmita Chaliha yang menewaskan pemain Indonesia, Thalita Ramadhani Wiryawan 21-16, 21-13 dengan rekod pertemuan kedua-dua pemain terikat 1-1.
Sementara itu turut mara ke pusingan kedua seorang lagi pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa yang menewaskan lawan dari Denmark, Amalie Schulz dalam pertarungan tiga set, 21-13, 19-21, 21-15 selepas bertarung selama 56 minit.
© New Straits Times Press (M) Bhd






