Sengkek Tiada Duit Bayar Tambang E-Hailing, 4 Remaja Pukul, Jerut Pemandu Wanita

Sengkek Tiada Duit Bayar Tambang E-Hailing, 4 Remaja Pukul, Jerut Pemandu Wanita


Gara-gara tidak mempunyai wang untuk membayar tambang e-hailing, empat remaja termasuk dua perempuan sanggup bertindak ganas apabila memukul dan menjerut seorang pemandu wanita dalam kejadian berhampiran kawasan hutan di Kuala Sungai Baru, Melaka, awal bulan ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 4 Mei lalu, mangsa yang berusia 41 tahun dikatakan menerima tempahan menerusi aplikasi Grab untuk mengambil empat penumpang di kawasan Bukit Rambai sebelum menghantar mereka ke Pekan Kuala Sungai Baru.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kumpulan itu terdiri daripada dua remaja perempuan berusia 14 tahun serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 17 tahun.

“Setibanya di kawasan berhampiran hutan di Kuala Sungai Baru, salah seorang suspek meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu mencari seseorang selain mendakwa tidak mempunyai wang untuk membuat bayaran secara dalam talian.

“Selang beberapa minit kemudian, tiga daripada suspek dipercayai bertindak agresif dengan menyerang mangsa menggunakan objek keras selain menjerut leher mangsa dari arah belakang kerusi pemandu serta mengugut supaya tidak meminta pertolongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad, sebelum serangan berlaku, mangsa sudah mula berasa curiga selepas suspek beberapa kali mengarahkan laluan sama dilalui berulang kali selain berhenti dua kali sepanjang perjalanan.

“Mangsa mula berasa curiga sebelum bertindak merakam keadaan menggunakan telefon bimbit sebelum kesemua suspek masuk semula ke dalam kereta,” katanya.

Situasi kemudian bertukar cemas apabila suspek dipercayai mula menyerang mangsa dari pelbagai arah.

“Berdasarkan keterangan mangsa, suspek perempuan dipercayai memukul mangsa menggunakan batang besi, seorang lagi menarik rambut mangsa manakala suspek lelaki menjerut leher pengadu dari belakang.

“Sementara itu, seorang lagi suspek lelaki telah melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan memandu keluar dari kawasan kejadian sebelum tampil membuat laporan polis.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam dan bengkak pada beberapa bahagian badan selain kesan jerutan pada leher.

Menurut Ahmad, kesemua suspek berjaya ditahan pada petang hari sama dan direman sehingga Selasa bagi membantu siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.






Source link

OR

Scroll to Top