Guangzhou: Seekor anjing baka French bulldog di China meraih pendapatan lebih AS$14,000 (kira-kira RM66,200) hasil mengutip botol kosong yang dibuang di jalanan serta kemunculannya dalam video yang dimuat naik secara dalam talian.
Lebih bermakna, apabila sebahagian pendapatan anjing bernama Xiaobai itu digunakan untuk menyokong usaha menyelamat haiwan terbiar.
Memetik laporan Vnexpress, Xiaobai mula memungut botol kitar semula di Guangzhou sejak kecil dan tabiat unik itu sudah berlarutan lebih lima tahun.
Awal bulan ini, pemilik yang hanya dikenali sebagai Zhang memuat naik video di platform media sosial China, Douyin yang menunjukkan anjing berkenaan berjaya mengumpul simpanan sebanyak 100,000 yuan (kira-kira RM66,200) hasil mengutip botol.
Menurut laporan Shanghai Daily, Xiaobai mula menunjukkan minat terhadap botol ketika berusia kira-kira empat hingga lima bulan.
Tabiat itu bermula apabila Xiaobai memungut botol plastik kosong sebelum beberapa orang gelandangan menukarkannya dengan makanan supaya mereka dapat menjual semula barangan kitar semula itu.
Memetik laporan Jiefang Daily, sejak itu, Xiaobai mula mengaitkan botol dengan makanan menyebabkan ia kerap keluar mencari botol setiap hari.
Xiaobai akan keluar sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, tengah hari, dan petang dengan setiap perjalanan mengambil masa selama 20 hingga 30 minit untuk mencari botol.
Setiap kali ternampak botol, Xiaobai akan segera berlari untuk mencapainya dan jika botol itu masih berisi air, ia akan menggunakan kaki depannya untuk menegakkan kedudukan botol, membuka penutup dengan gigi, membuang air, memijak botol hingga kemek sebelum membawanya pulang.
Zhang berkata, dia pernah cuba menghalang Xiaobai daripada terus mengutip botol, namun tidak berjaya kerana anjing itu akan mogok makan dan menjadi murung jika dihalang.
“Sebenarnya, kami tidak kekurangan wang. Niat asal saya merakam video hanyalah untuk merekodkan kehidupannya dan tidak menyangka ia akan menjadi popular sehingga menjana pendapatan melalui platform berkenaan,” kata Zhang.
“Pendapatan daripada menjual barangan kitar semula kini melebihi 1,000 yuan (kira-kira RM660) sebulan berikutan banyak kedai tempatan mula menyimpan botol kosong untuk Xiaobai di samping keuntungan daripada akaun media sosial gouxiaobai yang kini mengumpul 348,500 pengikut,” katanya kepada CQ News.
Zhang berkata, dia membahagikan pendapatan Xiaobai kepada tiga bahagian iaitu 30 peratus untuk perbelanjaan hidup anjing itu, 30 peratus disimpan manakala baki 40 peratus didermakan kepada organisasi penyelamat haiwan serta digunakan untuk membeli makanan kucing jalanan di kawasan kejiranan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd





