“Tanpa Depa, Saya Takkan Sampai Tahap Ni” – Steven Sim Hargai Guru-Gurunya

“Tanpa Depa, Saya Takkan Sampai Tahap Ni” – Steven Sim Hargai Guru-Gurunya


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim membuktikan jasa guru tidak pernah luput daripada ingatan apabila meluangkan masa meraikan Hari Guru bersama cikgu-cikgu lamanya dari Sekolah Rendah Stowell hingga ke High School Bukit Mertajam.

Dalam suasana penuh nostalgia itu, Steven mengakui walaupun sudah lebih tiga dekad berlalu, wajah dan jasa insan-insan yang pernah mendidiknya masih kekal segar dalam ingatan kerana merekalah yang banyak membentuk perjalanan hidupnya hari ini.

Menurut beliau, guru Bahasa Melayu pertamanya ketika darjah satu, Puan Zaniyah antara individu yang paling dekat di hati kerana menjadi orang pertama yang mengajarnya membaca dan menulis sehingga mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Beliau turut mengimbau kenangan bersama Cikgu Idrus, abang kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan Guru Besar di Stowell.

“Setiap kali lalu depan pejabat dia, saya dok elak nak bertembung. Elak punya elak, sekali tu terserempak jugak, kena tarik sideburn sebab rambut panjang sikit,” katanya dalam hantaran Facebook.

Sempena majlis itu juga, Steven sempat menyampaikan pantun khas buat guru-gurunya sebagai tanda penghargaan:

“Bagai pipit dengan enggang,
Manakan sama di langit biru.
Bagaikan sireh pulang ke ganggang,
Anaknda menghadap sekalian cikgu.”

Beliau turut mengenang dua gurunya yang mempunyai nama sama iaitu “Cikgu Osman Besaq” dan “Cikgu Osman Kecik”, selain Cikgu Zahiri yang mengajarnya Pendidikan Moral dan Bahasa Melayu serta memperkenalkannya kepada dunia pantun dan sajak.

Puan Zaniyah menerima hadiah cabutan bertuah pakej umrah daripada Steven Sim

Nama-nama seperti Cikgu Fatimah Bee, Cikgu Siti Fatimah, Cikgu Azizah, Cikgu Chandra, Cikgu Chia Sin Chai, Cikgu Abu Seman, Cikgu Rada Krishnan dan Cikgu Suria pula disifatkan sebagai insan yang tetap dekat di hati walaupun sudah lama tidak bersua.

Steven turut menzahirkan penghargaan kepada guru tingkatan empat dan lima, Puan Rohaya yang banyak membantu mengumpulkan semula guru-guru lama High School Bukit Mertajam bagi menjayakan pertemuan tersebut.

Menurutnya, guru komputer terakhirnya di sekolah menengah, Puan Rohana pula menjadi inspirasi untuk beliau mengambil jurusan Sains Komputer di universiti dan sehingga kini masih lagi berkhidmat sebagai pendidik.

“Tanpa depa, saya takkan sampai ke tahap ni,” katanya sambil menyifatkan semua gurunya sebagai insan yang membentuk dirinya daripada kecil sehingga berjaya menjadi seperti hari ini.

Dalam pada itu, Steven turut berkongsi kegembiraan apabila Puan Zaniyah sekali lagi menerima rezeki menunaikan umrah bersama suami selepas memenangi cabutan bertuah pada majlis berkenaan, dua tahun selepas beliau pernah menghantar guru itu mengerjakan umrah.






Source link

OR

Scroll to Top