Kongres Luar Biasa FAM pada 4 Jun penentu hala tuju baharu bola sepak negara

Kongres Luar Biasa FAM pada 4 Jun penentu hala tuju baharu bola sepak negara


firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tarikh 4 Jun depan menjadi detik paling dinanti-nantikan dalam landskap bola sepak negara apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka mengadakan Kongres Luar Biasa di ibu negara yang bakal menentukan hala tuju baharu badan induk bola sepak negara itu.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, FAM sudah menyerahkan notis rasmi Kongres Luar Biasa berkenaan kepada semua ahli gabungannya termasuk Persatuan Bolasepak Negeri (FA) bagi menghadiri mesyuarat penting itu.

Difahamkan, kongres berkenaan bakal membincangkan beberapa perkara utama termasuk cadangan serta saranan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengenai penambahbaikan struktur pentadbiran dan sistem pemilihan FAM.

Malah, lebih daripada 10 cadangan dipercayai akan dibentangkan AFC termasuk pindaan terhadap syarat sokongan pencalonan bagi sesuatu jawatan supaya proses pemilihan selepas ini menjadi lebih adil, inklusif, telus dan mempunyai integriti lebih tinggi.

Kongres Luar Biasa itu dilihat membuka jalan kepada Kongres Pemilihan FAM yang akan diadakan sebaik sahaja segala cadangan dan pindaan dipersetujui ahli gabungan badan induk berkenaan.

Dua kongres penting itu perlu dilaksanakan susulan kemelut besar yang melanda FAM pada Januari lalu apabila semua ahli Exco badan induk berkenaan bertindak meletakkan jawatan secara berjemaah.

Tindakan drastik itu berlaku selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesan kesalahan berkaitan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain sehingga mencetuskan tekanan hebat terhadap badan induk berkenaan.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, Kongres Luar Biasa itu sememangnya perlu diadakan segera berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan FAM selepas berlakunya peletakan jawatan besar-besaran sebelum ini.

“Mesyuarat Agung Luar Biasa FAM ini, kita tahu memang selepas AFC masuk hari itu, sememangnya bila berlakunya pembubaran secara besar-besaran dengan semua ahli gabungan dan semua ahli Majlis FAM meletakkan jawatan serta-merta, maka kalau mengikut perlembagaan FAM, mereka perlu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Menurut beliau, kongres berkenaan dijangka menjadi platform utama untuk menetapkan semula kepimpinan baharu FAM selaras dengan kehendak AFC dan FIFA.

Katanya, antara perkara paling penting yang dijangka dibincangkan adalah pindaan terhadap statut dan sistem pemilihan badan induk itu supaya lebih terbuka serta berintegriti.

“Kita tak tahu apa perkara yang telah dicadangkan oleh AFC, tetapi saya percaya pada Mesyuarat Agung Luar Biasa nanti sudah pastilah kaedah pemilihan baharu akan ada kelonggaran tertentu untuk memberikan corak pemilihan yang lebih terbuka, lebih berintegriti dan inilah yang diharapkan oleh penyokong serta peminat bola sepak negara,” katanya.

Beliau turut berharap segala cadangan yang dikemukakan AFC dapat membantu memulihkan semula imej bola sepak Malaysia yang tercalar teruk akibat kontroversi sebelum ini.

“Impaknya daripada Kongres Luar Biasa ini sudah pastilah kita mengharapkan cadangan daripada AFC dan selari dengan kehendak FIFA untuk memulihkan kembali imej bola sepak Malaysia.

“Selepas Kongres Luar Biasa ini meluluskan segala cadangan daripada AFC, maka bolehlah FAM mengadakan Kongres Pemilihan semula Ahli Majlis supaya kita dapat membentuk kepimpinan baharu FAM yang lebih telus, berintegriti tinggi dan menggabungkan kepakaran dalam bola sepak serta bisnes bola sepak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top