Pengadil elit dari Qatar kendali aksi JDT, Kuching City

Pengadil elit dari Qatar kendali aksi JDT, Kuching City


Empat pengadil yang telah dilantik oleh FAM untuk mengadili aksi final Piala Malaysia.

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) pada Rabu mengumumkan pelantikan empat pegawai perlawanan berprofil tinggi dari Qatar untuk mengadili Perlawanan Akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim dan Kuching City FC yang akan berlangsung di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Mereka terdiri daripada Mohammed Ahmed Al Shammari selaku Pengadil, Yousuf Aref Al Shamari dan Khaled Aiad Khalaf sebagai Penolong Pengadil 1 dan 2 serta Meshari Ali Alshamari selaku Pengadil VAR, dengan kesemua mereka bertaraf Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Pengadil Elite Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

FAM dalam satu kenyataan berkata, keempat-empat pegawai ini bukanlah nama asing di pentas bola sepak antarabangsa.

“Pengadil bersama kedua-dua Penolong Pengadil serta Pengadil VAR pernah mengendalikan beberapa kejohanan utama termasuk Piala Dunia B-17 FIFA dan Perlawanan Akhir Qatar Emir Cup membuktikan pengalaman serta kredibiliti mereka dalam mengurus perlawanan berintensiti tinggi.

“Pelantikan pengadil dari luar negara ini dibuat selepas FAM menerima permohonan rasmi daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi memilih pengadil terbaik untuk mengendalikan perlawanan berprestij edisi ke-99 itu,” kata kenyataan itu.

Untuk rekod, FAM sebelum ini pernah melantik pengadil luar pada Perlawanan Akhir Piala FA 2019 ketika Perak menentang Kedah di venue yang sama iaitu tiga pegawai perlawanan dari Jepun, Takuto Okabe selaku Pengadil, dibantu oleh Akane Yagi dan Osamu Nomura sebagai Penolong Pengadil 1 dan 2.

“Perlawanan Akhir Piala Malaysia sentiasa menjadi acara kemuncak bola sepak negara. Justeru, FAM komited untuk memastikan setiap aspek penganjuran termasuk pengadilan mencapai standard terbaik selaras dengan reputasi kejohanan tertua dan paling berprestij di Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.



Source link

OR

Scroll to Top