am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Pelbagai jenis dadah seberat lebih 94 kilogram (kg) bernilai RM3.25 juta dirampas susulan kejayaan polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dalam operasi di empat daerah di negeri ini, baru-baru ini.
Kejayaan hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam itu turut membawa kepada penahanan beberapa individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah berkenaan.
Operasi itu membolehkan polis merampas lebih 63kg syabu, 31kg cecair THC, 4.49 gram ganja dan sekilogram serbuk ekstasi.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, kes pertama membabitkan tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 26 tahun pada 3 Mei lalu di Taman Heng Long, Jalan Seri Melor Tinagayan, Semporna.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan berjaya menemukan 15 kotak mengandungi 10,000 katrij pelbagai jenis vape dianggarkan seberat 20kg bersama dua botol gelen mengandungi cecair disyaki dadah THC seberat 11kg, keseluruhan bernilai sekitar RM93,000
Katanya, hasil siasatan lanjut, polis melakukan beberapa siri serbuan susulan di Kota Kinabalu dan Tawau sekali gus membolehkan seorang wanita serta dua lelaki berusia lingkungan 38 hingga 52 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Bagi kes kedua, enam individu ditahan menerusi beberapa siri serbuan di Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang bermula 11 Mei lalu. Ketua sindiket masih diburu, bagaimanapun lelaki dipercayai pembantu kepada ketua sindiket ditahan ketika cuba melarikan diri ke Lawas, Sarawak.
“Rampasan dalam kes ini membabitkan 63.18kg keseluruhan dadah syabu, serbuk ekstasi dan ketamin yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3.16 juta. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.
Jauteh menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Orang ramai juga disaran untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah menerusi talian hotline JSJN di 012-208 7222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






