JDT uji taring lawan Chelsea

JDT uji taring lawan Chelsea


rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Buat pertama kali dalam sejarah bola sepak Johor Darul Ta’zim apabila juara Liga Super 12 musim berturut-turut akan berdepan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea FC dalam aksi persahatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 11 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta’zim FC, Luis Garcia berkata, pihaknya berasa amat bangga dan berbesar hati dapat menjadi tuan rumah kepada salah satu kelab Liga Perdana Inggeris paling terkenal di dunia.

“Perlawanan ini bukan sahaja menjadi satu pencapaian penting buat kelab kami, malah mencerminkan peningkatan kedudukan JDT dalam arena bola sepak Asia.

“Stadium Sultan Ibrahim merupakan kubu kami dan pada Ogos nanti, akan menjadi pentas kepada satu malam yang pasti sukar dilupakan.

“Kami menantikan perlawanan ini dan berharap akan menjadi permulaan kepada lebih banyak perlawanan berprofil tinggi pada masa hadapan.

“Chelsea bukan sahaja akan menikmati layanan mesra JDT serta kemudahan bertaraf dunia yang kami miliki, malah berpeluang menikmati keindahan negeri Johor,” katanya dalam kenyataan kelab JDT

Dalam pada itu, Pengarah Operasi Bola Sepak Chelsea FC, Pete Nuttall berkata, pihaknya gembira dapat menjadikan perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim sebagai aksi terakhir jelajah pra-musim pasukan itu selain kembali ke Malaysia buat kali pertama sejak aksi persahabatan pada tahun 2013.

“Sukan bola sepak mempunyai kelompok penyokong yang amat bersemangat di rantau ini dan merupakan peluang terbaik untuk penyokong kami di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara menyaksikan pasukan beraksi sekali lagi menjelang musim baharu,” katanya.

Perlawanan itu juga menjadi sebahagian daripada persiapan pra-musim Chelsea FC menjelang kempen musim 2026/27, selain memberi peluang kepada JDT untuk menguji kemampuan mereka menentang pasukan elit Eropah di gelanggang sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top