MCMC akan beri taklimat isu sekatan media sosial bawah 16 tahun

MCMC akan beri taklimat isu sekatan media sosial bawah 16 tahun


PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan mengadakan taklimat khusus kepada media berhubung cadangan sekatan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, taklimat itu bagi membolehkan persoalan khusus termasuk aspek teknikal berhubung pelaksanaan cadangan tersebut dijawab dengan lebih terperinci.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, dari segi dasar, penggunaan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad bagi tujuan pengesahan umur bukan perkara baharu.

Katanya, kaedah pengesahan identiti menggunakan dokumen rasmi kerajaan ketika ini turut digunakan dalam sektor lain termasuk perkhidmatan e-dompet.

“Dalam beberapa perkara ini, saya akan minta supaya pihak MCMC mengadakan sesi taklimat khusus untuk rakan-rakan media.

“Mungkin persoalan-persoalan khusus boleh dijawab, persoalan-persoalan teknikal boleh dijawab dengan sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar mingguan menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, penggunaan dokumen rasmi kerajaan bagi tujuan pengesahan identiti juga tidak bercanggah dengan dasar sedia ada kerana sudah dipraktikkan dalam beberapa perkhidmatan digital.

Katanya, aspek keselamatan data peribadi tetap tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi bagi memastikan pengendalian maklumat pengguna dibuat mengikut peruntukan undang-undang.

“Dari segi dasar, kita lihat tidak ada percanggahan antara dasar untuk pelaksanaan pengesahan umur menggunakan dokumen rasmi kerajaan.

“Ini kerana ada sektor-sektor lain dalam negara kita yang telah menggunakan dasar yang sama,” katanya.

Sementara itu, Fahmi yang juga Pengarah Konvensyen Pakatan Harapan (PH) melahirkan rasa kesal terhadap insiden kekasaran membabitkan petugas media Johor ketika membuat liputan konvensyen berkenaan baru-baru ini.

Katanya, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan petugas media perlu diberikan ruang secukupnya untuk menjalankan tugas dalam mana-mana acara.

“Saya amat kesal dengan kejadian itu, apatah lagi saya amat mengenali pasukan media Johor.

“Saya telah minta supaya sekretariat meneliti aduan yang dibuat dan cuba mengenal pasti apakah isu dan siapa yang mungkin terlibat untuk kita ambil tindakan selepas ini,” katanya.

Bagaimanapun, Fahmi berkata, keadaan di lokasi yang sesak akibat ruang terhad dan kehadiran ramai peserta mungkin menyukarkan pergerakan petugas media ketika membuat liputan.

beliau berkata, penganjuran acara selepas ini akan ditambah baik bagi memastikan petugas media mempunyai ruang yang sesuai untuk menjalankan tugas.

“Dalam apa-apa acara, wartawan perlu diberikan ruang sepenuhnya. Kita akan ambil maklum dan cuba untuk membaiki,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top