KUALA LUMPUR: Kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berhubung titah Sultan Selangor mengenai Rukun Negara disifatkan sangat biadap dan tidak menghormati institusi diraja.
Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, kenyataan pemimpin DAP itu yang mempersoal kedudukan titah Raja dalam sistem Raja Berperlembagaan dilihat tidak sensitif serta mengelirukan rakyat mengenai peranan institusi diraja di negara ini.
“Walaupun Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, ia tidak bermaksud institusi diraja boleh diperkecil atau dipersoalkan sesuka hati oleh ahli politik.
“Titah Sultan Selangor itu menyentuh soal adab, penghormatan kepada Rukun Negara serta institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi asas kestabilan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Tony Pua yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP menegaskan, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu sahaja.
Pua berkata, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem dimana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
Kenyataan itu dibuat susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco DAP, Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami dan menghayati makna Rukun Negara.
Baginda bertitah, langkah itu penting supaya mereka menjadi rakyat yang tahu menghormati kedaulatan institusi Raja serta menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.
Mengulas lanjut, Daniel berkata, rakyat Malaysia secara keseluruhannya tetap menjunjung tinggi institusi diraja dan menyokong titah Sultan Selangor yang sentiasa menekankan perpaduan serta keharmonian negara.
Katanya, pemimpin politik sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada masyarakat dengan menjaga tutur kata apabila melibatkan institusi Raja-Raja Melayu.
“Jangan kerana mahu mempertahankan kenyataan tertentu, akhirnya adab terhadap institusi diraja diketepikan.
“Rakyat masih tahu membezakan antara kebebasan bersuara dan kenyataan yang boleh dianggap tidak menghormati Raja-Raja Melayu,” katanya.-UTUSAN






