sport@hmetro.com.my
Kuching: Legenda tinju negara, Sapok Biki menerima kenaikan pangkat daripada Mejar kepada Leftenan Kolonel dalam Tentera Darat Malaysia (TDM).
Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Pisau Tempur Pegawai Kanan TD itu berlangsung di Wisma Perwira TD, Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Berita Tentera Darat Malaysia, Sapok antara 24 pegawai yang dinaikkan pangkat ke Leftenan Kolonel dalam latihan kenaikan pangkat membabitkan 33 pegawai kanan tentera.
Majlis itu disempurnakan Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Azhan Md Othman dengan dibantu Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad.
Kejayaan itu menjadi bukti perjalanan panjang Sapok dalam pasukan beruniform selepas memulakan karier ketenteraan ketika masih aktif sebagai atlet negara.
Ketika menghadiahkan pingat emas acara light flyweight buat Malaysia pada Sukan Komanwel 1998, Sapok dilaporkan memegang pangkat Lans Koperal dalam Rejimen Artileri Diraja (RAD) sebelum dinaikkan ke pangkat sarjan.
Perjalanan kariernya tidak terhenti di situ apabila beliau kemudiannya ditauliahkan sebagai pegawai tentera, sekali gus membuktikan kecemerlangan seorang atlet boleh diterjemahkan kepada kepimpinan dalam kerjaya pasukan keselamatan negara.
Sapok mula mencipta nama di pentas antarabangsa selepas memenangi emas pada Sukan Komanwel 1998 serta pernah mewakili negara ke temasya Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan Sukan Sea Chiang Mai 1995, sebelum bersara daripada arena sukan kompetitif dan meneruskan kerjaya sebagai jurulatih.
© New Straits Times Press (M) Bhd






