Masa operasi di stesen Bukit Jalil dilanjutkan pada 23 Mei sehingga jam 12.30 pagi.
WAKTU operasi Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan sehingga 12.30 tengah malam Ahad ini sempena perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City di Stadium Nasional Bukit Jalil pada jam 9 malam, Sabtu ini.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan, operasi tren bagi Laluan Ampang-Sri Petaling dan Laluan Putrajaya turut dilanjutkan bagi menampung peningkatan pergerakan penumpang selepas tamat perlawanan.
Menurut kenyataan itu, hanya Stesen Sungai Besi akan dibuka bagi tujuan pertukaran laluan antara Laluan Ampang-Sri Petaling dan Laluan Putrajaya.
“Stesen lain di kedua-dua laluan berkenaan akan ditutup seperti biasa. Bagaimanapun, penumpang masih boleh keluar di mana-mana stesen di laluan tersebut untuk meneruskan perjalanan pulang,” menurut kenyataan itu.
Rapid Rail turut menasihati orang ramai yang hadir menyaksikan perlawanan supaya merancang perjalanan lebih awal serta digalakkan menggunakan kemudahan Park N’ Ride yang disediakan di stesen sepanjang Laluan Ampang-Sri Petaling dan Laluan Putrajaya.
Penumpang juga disaran menggunakan kad Touch ‘n Go atau kaedah pembayaran tanpa tunai, manakala pengguna token digalakkan membuat pembelian awal bagi perjalanan pergi dan balik untuk melancarkan urusan perjalanan.
Menurut Rapid Rail, kakitangan tambahan akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik bagi membantu penumpang sepanjang tempoh lanjutan operasi berkenaan.
Maklumat lanjut mengenai jadual perkhidmatan Rapid KL serta kemudahan Park N’ Ride boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.myrapid.com.my. – Bernama






