IMBAS KEMBALI…Penyokong Arsenal meraikan kejayaan Gunners menjuarai EPL di luar Stadium Emirates, London pada 19 Mei. Arsenal menamatkan penantian 22 tahun pemburuan kejuaraan liga selepas keputusan seri Manchester City ketika menentang Bournemouth mengesahkan kejuaraan buat skuad kendalian Arteta.Foto: AFP
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta mendedahkan sedang bersendirian membakar barbeku di halaman rumah ketika The Gunners menamatkan penantian 22 tahun untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini.
Keputusan seri 1-1 Manchester City ketika menentang Bournemouth pada Selasa mengesahkan kelab London berkenaan untuk muncul juara liga buat kali pertama sejak 2004.
Arteta menyifatkan kejayaan menjulang trofi EPL selepas enam setengah tahun membimbing Arsenal sebagai antara perasaan terbaik pernah dirasainya.
Namun, beliau mengakui tidak menyaksikan langsung perlawanan membabitkan anak buah Pep Guardiola di Stadium Vitality itu.
“Saya sepatutnya berada di pusat latihan dan menonton perlawanan bersama pemain serta staf kerana itu yang mereka mahukan, tetapi saya tidak mampu melakukannya.
“Saya pulang ke rumah, keluar ke halaman dan mula menyalakan api untuk barbeku. Saya langsung tidak menonton perlawanan itu. Saya hanya mendengar bunyi dari ruang tamu sebelum detik ajaib itu berlaku.
“Anak sulung saya membuka pintu dan berlari ke arah saya sambil menangis, memeluk saya dan berkata: ‘Kita juara, ayah’,” katanya yang menyifatkan detik tersebut sebagai sesuatu yang ajaib.
Anak buah Arteta kembali menjalani latihan pada Khamis selepas disahkan sebagai juara EPL musim ini.
Gunners yang mendahului Manchester City dengan kelebihan empat mata akan menamatkan kempen liga menentang Crystal Palace pada Ahad.
Arsenal turut berpeluang melengkapkan musim gemilang dengan kejuaraan berganda sekiranya menewaskan penyandang juara juga gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) dalam final Liga Juara-Juara di Budapest pada 30 Mei ini.






