Riyadh: Cristiano Ronaldo meledak dua gol ketika Al Nassr menjulang kejuaraan Liga Pro Saudi selepas menewaskan Damac 4-1, awal pagi tadi.
Kemenangan pada aksi terakhir musim itu menamatkan penantian panjang Ronaldo untuk meraih trofi domestik bersama kelab sejak menjuarai Serie A bersama Juventus pada 2020.
Sepakan percuma ikonik dan satu penyudah jarak dekat dalam tempoh 30 minit terakhir memastikan kemenangan penting buat Al Nassr, sekali gus menewaskan cabaran Al Hilal yang menamatkan musim hanya dua mata di belakang.
Ronaldo yang kini berusia 41 tahun dilihat menitiskan air mata ketika menyaksikan baki aksi dari bangku simpanan selepas dikeluarkan pada penghujung perlawanan.
Trofi itu melengkapkan koleksi kejuaraan liga Ronaldo selepas sebelum ini menjuarai liga di England, Sepanyol dan Itali selain memenangi lima trofi Liga Juara-Juara Uefa.
Al Nassr terlebih dahulu mendahului 2-0 sebelum Damac merapatkan kedudukan.
Namun, Ronaldo kembali mencuri tumpuan apabila sepakan percumanya pada minit ke-63 melepasi benteng pemain serta penjaga gol sebelum menerjah penjuru gawang.
Dia kemudian menambah gol kedua peribadi sembilan minit sebelum tamat perlawanan menerusi rembatan deras dalam kotak penalti.
Selepas ini, penjaring terbanyak antarabangsa lelaki sepanjang zaman dengan 143 gol itu bakal memberi tumpuan kepada penampilan keenam di Piala Dunia FIFA selepas disenaraikan dalam skuad Portugal minggu ini.
Ronaldo membuka laluan kepada kemasukan ramai bintang ternama ke Liga Pro Saudi apabila menyertai Al Nassr pada Januari 2023 selepas melalui tempoh sukar bersama Manchester United.
Antara pemain yang mengikut jejaknya ialah Neymar dan Karim Benzema selepas Ronaldo menandatangani kontrak lumayan bernilai sekitar 200 juta euro (RM920.4 juta) selama dua setengah tahun sebelum dilanjutkan dua tahun lagi pada Jun 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd






