Malaysia secara rasmi akan kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dipilih sebagai lokasi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix pada 2 hingga 4 Oktober 2026.
Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam satu kenyataan bersama memaklumkan perlumbaan itu akan berlangsung di antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan rasmi Majlis Sukan Permotoran Dunia (World Motor Sport Council).
Menurut kenyataan itu, perlumbaan berkenaan akan dikenali sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia hasil kerjasama Formula 1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia bagi memastikan satu pusingan Kejuaraan Dunia Formula Satu 2026 dapat diteruskan tanpa menjejaskan baki kalendar perlumbaan musim ini.

Katanya, langkah itu mencerminkan komitmen berterusan Bahrain terhadap Formula 1 sejak menjadi negara pertama di Asia Barat menganjurkan perlumbaan berkenaan pada 2004, selain kesediaan Malaysia membantu menjayakan penganjuran tersebut.
Sepang yang pernah menjadi tuan rumah Formula Satu dari 1999 hingga 2017 disifatkan sebagai antara litar paling ikonik dan mencabar dalam sukan permotoran dunia, selain terkenal dengan sokongan peminat yang luar biasa serta cuaca yang sering mencabar pasukan dan pelumba.
Maklumat berhubung penjualan tiket akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Duli Yang Teramat Mulia Putera Salman bin Hamad Al Khalifa berkata, penganjuran perlumbaan berkenaan di Malaysia mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara.
“Dengan limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, Raja Bahrain, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar, Yang di-Pertuan Agong Malaysia, serta berlandaskan hubungan akrab dan persaudaraan antara kedua-dua negara, saya berbesar hati bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Bahrain akan menganjurkan Grand Prix Formula Satu di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia, dari 2 hingga 4 Oktober 2026.
“Ini akan menjadi pengalaman yang amat bermakna kepada peminat Formula Satu di seluruh dunia dan mencerminkan komitmen serta minat mendalam Bahrain terhadap sukan ini.
“Di sebalik cabaran serantau yang sedang dihadapi, Bahrain berbangga menjadi tonggak kestabilan Formula Satu dan kami akan melakukan segala yang termampu bagi memastikan perlumbaan ini berlangsung dengan jayanya serta menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat semua pihak yang terlibat.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Formula 1, FIA, Litar Antarabangsa Bahrain, Litar Antarabangsa Sepang serta semua pasukan atas sokongan mereka dalam menjayakan hujung minggu perlumbaan yang menarik ini,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyifatkan kerjasama itu sebagai lambang persahabatan kukuh, kepercayaan bersama dan hubungan erat antara Malaysia dengan Bahrain.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Teramat Mulia Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, serta kerajaan dan rakyat Bahrain atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia.
“Kami berbesar hati dapat membantu Bahrain, Formula 1 dan FIA menganjurkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang tahun ini.
“Kerjasama ini bukan sekadar penganjuran acara sukan bertaraf dunia, malah mencerminkan persahabatan yang berkekalan, kepercayaan bersama dan hubungan rapat antara Malaysia dengan Bahrain, di samping membuktikan kesiapsiagaan serta keupayaan Malaysia menganjurkan acara antarabangsa berskala besar.
“Malaysia bersedia mengalu-alukan kepulangan Formula 1, FIA, semua pasukan dan peminat dari seluruh dunia ke Sepang. Kami menantikan peluang mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecekapan operasi serta layanan mesra rakyat Malaysia, di samping terus mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara menerusi penganjuran istimewa ini,” katanya.

Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem berkata, kepulangan Formula Satu ke Sepang membuktikan hubungan erat badan induk sukan permotoran dunia itu dengan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia, selain komitmen berterusan kerajaan dalam menganjurkan acara bertaraf antarabangsa.
Artikel lain: Kecoh bakal kembali ke Malaysia? KBS sahkan sedang berunding anjur F1 ganti Bahrain
Beliau berkata, sepanjang proses itu, aspek keselamatan dan kebajikan semua pasukan, pegawai, sukarelawan serta peminat sentiasa menjadi keutamaan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali berkata, pihaknya gembira dapat mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah Grand Prix Bahrain tahun ini.
“Kami amat berbesar hati mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain pada 2026. Sekali lagi, Formula Satu membuktikan keupayaannya menyesuaikan diri, mencari penyelesaian dan memastikan kalendar perlumbaan dapat diteruskan demi peminat di seluruh dunia.
“Paling penting, ini merupakan berita yang amat menggembirakan buat peminat. Mereka akan terus menikmati kalendar Formula Satu yang lengkap dan menarik, selain menyaksikan perlumbaan kembali ke salah satu litar paling bersejarah dalam sukan ini.
“Malaysia ialah sebuah negara yang luar biasa dan Sepang mempunyai tempat yang istimewa dalam sejarah Formula Satu. Ia bakal menjadi pentas perlumbaan yang hebat serta menawarkan pengalaman yang tidak akan dilupakan kepada peminat di litar mahupun di seluruh dunia,”ujar beliau.
Sumber: Formula 1







