am@hmetro.com.my
Georgetown: Kawasan di bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang sebelum ini sering menjadi tumpuan pemancing kini bebas daripada sebarang aktiviti berkenaan dan pencerobohan.
Ia susulan impak positif hasil pelaksanaan kempen hebahan dan kesedaran secara berterusan bagi memaklumkan bahawa kawasan itu sudah diwartakan sebagai kawasan larangan.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam kenyataannya berkata, rondaan dan pemeriksaan itu dilakukan bersama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) Pulau Pinang, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jambatan Kedua Sdn Bhd
(JKSB) dan Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (PLUS), semalam.
Operasi Bersepadu itu adalah bagi membanteras pencerobohan Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) di bawah kedua-dua jambatan berkenaan.
“Tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan warga Pulau Pinang serta komuniti maritim membuktikan keberkesanan pendekatan pencegahan sebelum penguatkuasaan dipertingkatkan.
“Sehubungan itu, pihak berkuasa mengingatkan khususnya komuniti nelayan dan pemilik bot bahawa larangan pencerobohan meliputi keseluruhan kawasan di bawah kedua-dua jambatan, termasuk zon penampan sejauh 250 meter di kiri dan 250 meter di kanan struktur jambatan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Operasi itu diketuai Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain dengan fokus utama operasi adalah bagi mencegah sebarang pencerobohan serta memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang di kawasan KLTL.
Ia memandangkan kedua-dua jambatan tersebut sudah diisytihar sebagai Kawasan Larangan Tempat Larangan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298), selain diklasifikasikan sebagai Sasaran Penting Negara.
“Mana-mana individu yang melanggar larangan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 Akta 298 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, individu terbabit juga boleh disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh,” menurut kenyataan itu lagi
Mengulas lanjut APMM memaklumkan bahawa penguatkuasaan yang dilaksana amat penting bagi mengelak sebarang risiko terhadap keselamatan awam serta mempertahankan integriti infrastruktur strategik negara.
Aktiviti pencerobohan di bawah jambatan juga dikhuatiri boleh menjejaskan saluran kabel komunikasi serta kabel elektrik voltan tinggi milik Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berada di bawah struktur jambatan.
“Bagi memperkukuh tadbir urus keselamatan, Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri (JSPN) bersama CGSO Pulau Pinang, LLM Wilayah Utara, JKSB, PLUS dan agensi keselamatan berkaitan kini sedang merangka Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengawal selia sebarang aktiviti yang dijalankan berhampiran kedua-dua jambatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






