Kuching City mahu buktikan kemampuan tundukkan JDT

Kuching City mahu buktikan kemampuan tundukkan JDT


PENGENDALI Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mahu anak-anak buahnya membuktikan kemampuan sebenar dan memberikan tentangan sengit pada aksi final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu.

Menurut beliau, walaupun pasukannya tidak dibarisi pemain bertaraf bintang atau nama-nama besar, semangat kekeluargaan dan kerja keras yang tinggi menjadi kunci utama kelab itu mampu melangkah sehingga ke pentas akhir.

“Pemain mempamerkan sikap profesional yang tinggi di dalam dan di luar padang. Di situlah wujudnya perpaduan sebagai satu keluarga.

“Untuk berada di tahap ini bukanlah mudah kerana kami hanyalah sebuah kelab kecil.

“Kami tidak mempunyai nama besar atau bintang dalam pasukan, tetapi semuanya adalah mengenai kerja keras yang ditunjukkan oleh pemain hari demi hari.

“Ada ketikanya kami berada di fasa yang sukar, namun pemain berjaya bangkit dengan baik. Ini adalah karakter yang mereka miliki dan saya harap kami dapat mengakhirinya dengan keputusan yang positif,” katanya ketika sidang akhbar pra perlawanan.

Menyedari tekanan beraksi di pentas final, beliau mengingatkan barisan pemainnya agar mengawal emosi dan mengekalkan tumpuan penuh terutamanya pada minit-minit awal perlawanan bagi mengelakkan kesilapan mudah.

“Keputusan perlawanan adalah sesuatu yang tidak boleh kita kawal, tetapi saya sentiasa mempercayai kemampuan pemain. Saya harap mereka tidak terlalu teruja sehingga melakukan kesilapan mudah.

“Sangat penting untuk bertenang pada 15 hingga 20 minit pertama bagi membiasakan diri dengan tekanan dan atmosfera perlawanan akhir. Apabila mereka mempunyai kelaparan untuk menang, saya harap mereka dapat bekerja dua kali ganda lebih keras.

“Ini adalah peluang untuk membuktikan mengapa kami layak berada di kedudukan liga sekarang, layak ke final, dan juga layak ke kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL). Saya mahu mereka berikan yang terbaik dan menikmati permainan,” jelasnya.

Mengulas mengenai jangkaan berdepan skuad Harimau Selatan, Aidil Sharin menegaskan mereka tidak hadir sebagai pelengkap jadual, sebaliknya mahu menghargai pengorbanan penyokong Sarawak yang sanggup mengembara jauh demi memberikan sokongan.

“Soal keputusan perlawanan, hanya Tuhan yang tahu apa yang akan berlaku. Apa yang penting bagi kami adalah untuk bersaing dan memberikan persembahan terbaik.

“Kami tidak datang ke sini hanya untuk mengambil bahagian. Kami mahu memberikan aksi maksimum dan tidak mahu menghampakan penyokong Sarawak yang terbang jauh ke sini untuk menyaksikan perlawanan.

“Bermain menentang pasukan terbaik dalam liga dan ACL adalah satu motivasi. Dalam beberapa pertemuan sebelum ini, aksi menentang JDT sentiasa sengit, jadi kami berharap dapat mempamerkan persembahan yang lebih baik pada aksi final ini,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top