Gandingan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut mara ke separuh akhir selepas menumbangkan gandingan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi. – FOTO: Bernama
BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meneruskan kemaraan cemerlang apabila melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2026 selepas menundukkan pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi hari ini.
Turun selaku antara sandaran utama negara di Unifi Arena, Bukit Jalil, pasangan ranking kesembilan dunia itu dipaksa beraksi dalam pertarungan tiga set sebelum mencatat kemenangan 21-17, 16-21, 21-16 dalam tempoh 53 minit.
Kemenangan itu turut meneruskan rentak positif Sze Fei-Izzuddin selepas pasangan berkenaan mara ke separuh akhir Terbuka Thailand minggu lalu.
Pasangan negara kini menanti pemenang satu lagi aksi suku akhir membabitkan beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pasangan China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi bagi perebutan tiket ke final.






