Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan merupakan langkah terbaik bagi menyelesaikan krisis politik yang sedang melanda negeri itu.
Kembalikan semula mandat ke rakyat
Memetik laporan daripada Sinar Harian, beliau menyatakan tindakan tersebut perlu dilakukan bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk menentukan siapa yang layak mentadbir Negeri Sembilan selepas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun didakwa hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Kalau Aminuddin sudah tidak dapat lagi kepercayaan majoriti daripada Ahli Dewan, sebaiknya beliau membubarkan DUN dan kita pulangkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapa yang mereka nak untuk mentadbir Negeri Sembilan.
“Jangan kita bising ‘kulu-kilir’, ia menyebabkan rakyat rasa tak tenteram. Sudahlah dengan keadaan dunia tidak stabil dengan perangnya, jadi kita buat elok-elok,” katanya.

Cadang Sidang DUN dilakukan segera
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bukan untuk mencetuskan ketidaktenteraman awam, sebaliknya demi mengurus negara secara bersama.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan Sidang DUN diadakan segera bagi memberi peluang kepada Aminuddin membuktikan beliau masih mempunyai sokongan majoriti untuk terus kekal sebagai Menteri Besar.

Terdahulu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan mengumumkan kesemua 14 ADUN UMNO negeri itu menarik sokongan terhadap Aminuddin susulan krisis membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.
Krisis berkenaan mula menjadi perhatian selepas tindakan undang luak mengisytiharkan penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungei Ujong.




