Pemandu pikap lari selepas rempuh warga emas

Pemandu pikap lari selepas rempuh warga emas


am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Polis sedang mengesan pemandu sebuah pikap selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan maut membabitkan seorang warga emas di Jalan Sepanggar berhampiran Kampung Sepakat Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 4.25 petang itu, lelaki berusia 69 tahun dilaporkan sedang melintas dari arah kanan ke kiri jalan untuk menuju ke kawasan Indah Permai sebelum dirempuh kenderaan terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan awal mendapati pikap berkenaan sedang bergerak di lorong kiri jalan ketika kejadian berlaku.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Likas pada 4.56 petang.

“Bagaimanapun, pemandu kenderaan terbabit dipercayai melarikan diri sejurus kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat warga emas itu kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Brymenderen Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top