Istanbul: Bekas bintang Liverpool, Mohamed Salah dilaporkan semakin hampir menyertai kelab Turki, Besiktas dengan tawaran kontrak bernilai tinggi selepas meninggalkan Anfield sebagai pemain bebas perpindahan.
Menurut laporan, Besiktas bersedia menawarkan gaji sekitar €12.5 juta (RM58 juta) setahun kepada penyerang Mesir itu dalam usaha mendapatkan khidmatnya bagi menghadapi musim baharu.
Rundingan antara pihak kelab dan wakil Salah, Ramy Abbas, dikatakan memasuki fasa penting selepas kedua-dua pihak mencapai perkembangan positif berkaitan terma peribadi pemain.
Presiden Besiktas, Serdal Adali, sebelum ini mengesahkan kelab itu sedang berunding dengan Salah dan wakilnya bagi merealisasikan perpindahan yang dianggap antara terbesar dalam sejarah Liga Turki.
“Kami sudah lama menjalankan rundingan dengan Salah dan wakilnya mengenai butiran perjanjian. Kami telah mengemukakan tawaran rasmi terakhir selepas berbincang dari semua sudut,” katanya.
Salah, 34, meninggalkan Liverpool selepas sembilan musim penuh gemilang di Anfield yang menyaksikan dia menjadi antara pemain terpenting dalam sejarah kelab itu.
Sepanjang bersama Liverpool, pemain kelahiran Mesir itu membantu kelab tersebut memenangi pelbagai trofi termasuk Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara, selain mencipta pelbagai rekod jaringan.
Perpindahan ke Besiktas bakal membuka lembaran baharu dalam karier Salah selepas sebelum ini dia sering dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Pro Saudi.
Namun, pemain itu dilaporkan masih mahu meneruskan karier di Eropah dan Besiktas menjadi destinasi yang berpotensi untuknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






