KANGAR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhasrat melahirkan lebih ramai pemimpin muda masa hadapan yang berkualiti dalam bersama-sama membangunkan negara ini.
Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pemimpin muda bukan sekadar diukur berdasarkan usia semata-mata tetapi perlu mempunyai prinsip, idealisme dan kualiti kepimpinan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, sebagai contoh, pada masa kini, terdapat ramai anak muda telah menjadi Ahli Parlimen yang berperanan sebagai pembuat dasar, mampu berbahas dan bercakap soal rakyat di kawasan mereka dengan baik.
“Dan sebab itu, saya hasrat lebih ramai lagi pemimpin anak muda di masa hadapan di mana sekitar 50 peratus Ahli Parlimen di dalam dewan nanti adalah golongan belia dan anak muda,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2026 Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, hari ini.
Mohammed Taufiq berkata, dalam masa sama, gabungan pengalaman antara pemimpin veteran dan idea segar anak muda amat diperlukan bagi memastikan pembangunan negara dapat diperkukuh secara menyeluruh.
Kata beliau, KBS juga sentiasa melaksanakan program kepimpinan untuk memastikan agar negara dapat membentuk pemimpin masa depan berkualiti.
“Kita mahu melihat lebih ramai pemimpin muda yang berani bercakap soal rakyat dan tampil ke hadapan untuk membangunkan negara,” katanya.
Menurut Mohamed Taufiq, golongan belia kini dilihat semakin matang dan bijak menilai keberkesanan sesebuah kerajaan berdasarkan prestasi pentadbiran serta pencapaian semasa negara.
Katanya, anak muda tidak lagi hanya melihat kepada retorik politik semata-mata sebaliknya lebih menilai pencapaian kerajaan dalam aspek ekonomi, peluang pekerjaan dan kestabilan negara.
“Walaupun dunia ketika ini berdepan krisis global yang mencabar, Malaysia masih mampu mengekalkan kadar pengangguran dan inflasi yang rendah selain menyediakan peluang pekerjaan yang baik kepada golongan muda.
“Jadi saya yakin dan percaya anak muda lebih celik dan lebih pintar untuk menilai keberhasilan dan keberkesanan sesebuah kerajaan mentadbir negara,” katanya.-UTUSAN






