Pelakon terkenal, Datuk Adi Putra tidak menolak kemungkinan untuk aktif sepenuhnya dalam dunia politik sekiranya diberi peluang pada masa akan datang.
Sudah lama berkecimpung dalam politik
Memetik laporan daripada Harian Metro, Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim menyatakan penglibatannya dalam arena politik bukan perkara baharu namun buat masa ini beliau hanya menyerahkan soal tersebut kepada takdir.
“Bukan sehari dua saya dalam politik, tetapi untuk menjadi wakil rakyat bukanlah niat saya.
“Namun, kalau itu ketentuannya, saya akan teruskan dan tidak menolak. Saya memang minat dunia politik
“Manifesto saya adalah bagaimana kita mahu mengadakan satu penyatuan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum,” katanya.

Mahu politik masa kini lebih matang
Menurut pelakon filem Mat Kilau itu, politik pada masa kini seharusnya lebih matang dan tidak lagi menjadi medium untuk melaga-lagakan masyarakat.
“Untuk tahun 2026 ini, politik seharusnya menjadi medan yang matang dan bukan politik yang melagakan. Kita cuma mahu meleraikan, bukannya mahu melagakan,” katanya.
Pesan masyarakat untuk guna kebijaksanaan buat pilihan
Dalam pada itu, Adi Putra turut menitipkan pesanan kepada masyarakat supaya menggunakan kebijaksanaan ketika membuat pilihan demi masa depan negara.
“Tangan saya dan pilihan saya adalah sama sahaja dengan anda semua. Tangan anda, pilihan anda. Cuma kita mahu apa yang kita fikirkan ini dinilai dengan akal yang panjang, bukannya akal yang pendek,” kongsinya.






