JDT pertahan Piala Malaysia

JDT pertahan Piala Malaysia


JOHOR Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan mempertahankan Piala Malaysia setelah menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam aksi final yang berlangsung sengit di TM Stadium Nasional pada Sabtu.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menjuarai empat piala dalam satu musim buat kali keempat berturut-turut.

Bagaimanapun, kemenangan tersebut tidak hadir dengan mudah apabila JDT terpaksa berhempas pulas sebelum dapat menundukkan tentangan sengit yang dipamerkan Kuching City kendalian Aidil Sharin Sahak.

Sepanjang perlawanan, JDT tampil dengan corak permainan menyerang yang berbahaya.

Namun, mereka juga kerap kali ditekan dengan serangan balas pantas daripada Kuching City yang hampir beberapa kali memerangkap benteng pertahanan Harimau Selatan.

JDT memperolehi peluang awal pada minit ke-10 menerusi hantaran lintang Oscar Arribas yang ditepis penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.

Bola muntah itu pantas disambar oleh Bergson da Silva, namun percubaan jarak dekat penyerang berbisa itu sekali lagi dinafikan oleh kecekapan Haziq.

Stadium kembali gamat pada minit ke-12 apabila rembatan Bergson berjaya menggegarkan gawang lawan.

Bagaimanapun, kegembiraan penyokong JDT tidak bertahan lama apabila pengadil membatalkan jaringan tersebut selepas mengesan kekasaran yang dilakukan Bergson ke atas pertahanan lawan ketika merampas bola.

Kuching City turut hampir mengejutkan JDT pada minit ke-19 menerusi Ramadhan Saifullah Usman yang menyambut hantaran lintang Joao Pedro, namun tandukannya tersasar sedikit dari gawang yang dikawal Syihan Hazmi.

Bersambung pada babak kedua, JDT mempertingkatkan asakan dan pada minit ke-52, rembatan deras Oscar Arribas sekali lagi berjaya diselamatkan oleh Haziq yang beraksi cemerlang.

Dua minit kemudian, penjaga gol itu sekali lagi menjadi penyelamat Kuching City apabila menggagalkan percubaan berbahaya daripada Bergson.

Sedar ditekan, Kuching City cuba bertindak balas dan hampir memecah kebuntuan menerusi serangan balas pantas Jerome Etame namun rembatannya diselamatkan oleh Syihan.

Drama perlawanan terus memuncak pada minit ke-60 apabila pengadil perlawanan dari Qatar, Mohammed Ahmed Al-Shammari, menghadiahkan sepakan penalti kepada Kuching City selepas Corbin Ong menjatuhkan Ramadhan di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Ramadhan yang dipertanggungjawabkan mengambil sepakan tersebut gagal menyempurnakannya apabila rembatannya tersasar ke sebelah kanan gawang JDT.

Setelah deretan peluang dicipta, gol yang dicari-cari JDT akhirnya menjelma pada minit ke-80 menerusi Marcos Guilherme yang melepaskan satu sepakan lencong yang cantik menewaskan Haziq untuk meletakkan JDT di hadapan.

Arif Aiman Hanapi menandakan kepulangannya kembali ke atas padang selepas berehat panjang akibat kecederaan meledak gol kedua JDT pada masa kecederaan.

Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan sekali gus mengesahkan kejuaraan Piala Malaysia milik JDT bagi musim ini.



Source link

OR

Scroll to Top