MAHB catat 51 juta pergerakan penumpang separuh pertama 2026

MAHB catat 51 juta pergerakan penumpang separuh pertama 2026


Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan 51 juta pergerakan penumpang di seluruh lapangan terbangnya di Malaysia pada separuh pertama 2026, meningkat 1.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAHB menyatakan pergerakan penumpang berkenaan dipacu oleh permintaan kukuh bagi perjalanan antarabangsa walaupun trafik domestik lebih lemah berikutan tindakan syarikat penerbangan menyelaraskan kapasiti operasi mengikut perubahan keadaan pasaran.

Pengendali lapangan terbang itu mengendalikan 7.6 juta penumpang pada Jun yang terdiri daripada 4.1 juta penumpang antarabangsa dan 3.5 juta penumpang domestik.

Trafik penumpang menyederhana berbanding Mei, mencerminkan kesinambungan aliran pasaran yang lebih meluas sepanjang suku kedua apabila syarikat penerbangan bertindak balas terhadap harga bahan api yang tinggi.

Selain itu, syarikat penerbangan turut berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik dan perubahan permintaan perjalanan dengan mengoptimumkan rangkaian serta penggunaan kapasiti mereka.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, prestasi pada Jun mencerminkan persekitaran operasi yang lebih berhati-hati di seluruh industri penerbangan memandangkan syarikat penerbangan terus menyelaraskan kapasiti masing-masing sebagai tindak balas terhadap perubahan keadaan pasaran.

“Walaupun perkara ini menyebabkan pertumbuhan trafik penumpang domestik menjadi lebih sederhana, kami tetap memberi tumpuan untuk memperkukuh hubungan dan menyokong rakan kerjasama syarikat penerbangan kami bagi merebut peluang pertumbuhan pada masa hadapan,” katanya.

Menurut MAHB, pergerakan penumpang domestik turun 4.4 peratus pada separuh pertama 2026 berikutan tindakan syarikat penerbangan menyelaraskan kapasiti di tengah-tengah kos operasi yang lebih tinggi dan permintaan yang lebih lemah.

Jelasnya, penurunan paling ketara dicatatkan di Sabah sebanyak 7.1 peratus manakala Pulau Pinang, Langkawi dan beberapa lapangan terbang sekunder turut menyaksikan trafik yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Trafik penumpang antarabangsa pula meningkat 7.7 peratus berbanding tahun sebelumnya sepanjang separuh pertama 2026 kepada 27.8 juta penumpang, dipacu oleh permintaan yang aktif dari pasaran utama termasuk Indonesia, Singapura, Thailand, China, Australia, Vietnam dan Eropah.

“Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pergerakan penumpang antarabangsa meningkat 7.8 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 23.4 juta penumpang manakala jumlah keseluruhan pergerakan penumpang meningkat 5.4 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 31.7 juta,” jelasnya.

MAHB memaklumkan bahawa ia terus meningkatkan ketersambungannya sepanjang Jun menerusi pengenalan lapan perkhidmatan baharu.

Ini termasuk laluan sulung Wings Air bagi Pekanbaru–Melaka, laluan Kota Bharu–Jakarta dan Kuala Lumpur–Kansai oleh AirAsia, perkhidmatan Dalian–Kuala Lumpur melalui Nanjing oleh China Eastern Airlines, laluan Kuala Lumpur–Lombok dan Banjarmasin–Kuala Lumpur oleh Lion Air serta laluan Batik Air dari Shanghai dan Padang ke Kuala Lumpur.

“Di seluruh kumpulan MAHB termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen Istanbul (ISG), pergerakan penumpang mencecah 74.8 juta sepanjang separuh pertama 2026, menunjukkan peningkatan sebanyak 3.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“ISG menyumbang 23.8 juta penumpang disokong oleh permintaan antarabangsa yang berterusan dan pertumbuhan rangkaian,” menurut MAHB.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top