Ahmad Muzakkir (gambar kecil) menegaskan bahawa FAM dan MFL selaku ‘kepala’ atau peneraju utama perlu memperbetulkan hala tuju demi menyelamatkan ekosistem sukan bola sepak.
KEMELUT dan prestasi semasa landskap bola sepak negara memerlukan perubahan yang menyeluruh dengan tumpuan utama harus diberikan kepada perubahan di peringkat tertinggi.
Pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid menegaskan bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku ‘kepala’ atau peneraju utama perlu memperbetulkan hala tuju demi menyelamatkan ekosistem sukan tersebut.
“Kalau tanya saya, pokok pangkalnya kita kena ubah daripada ‘kepala’. Kepala yang saya maksudkan di sini ialah FAM dan MFL, pihak yang bertindak menentukan hala tuju pembangunan bola sepak negara.
“Hari ini kita lihat keadaan agak kucar-kacir melibatkan liga, MFL dan FAM dengan pelbagai isu yang berlaku.
“Penyokong mengharapkan bola sepak kita bangkit. Jika peringkat FAM dan MFL bangkit, maka secara automatik peringkat akar umbi akan turut bangkit kerana ekosistem ini bermula dari atas,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Muzakkir turut menggesa agar badan pengendali liga menilai semula kuota pendaftaran pemain import yang disifatkan terlalu tinggi sehingga mengehadkan minit permainan bakat tempatan.
Beliau mencadangkan agar kuota sedia ada dikurangkan secara drastik bagi memberi ruang kepada pemain tempatan menonjolkan keupayaan mereka.
“Kuota pemain import ketika ini terlalu ramai dan ini telah menutup peluang pemain tempatan. Apa yang kami sebagai pemerhati dan penyokong mahukan adalah kuota ini diturunkan,” katanya.
Mengambil contoh situasi sebelum ini, beliau mengingatkan keberkesanan tindakan menyekat kehadiran pemain import pada 2008 yang akhirnya membuahkan hasil lumayan buat skuad kebangsaan dua tahun kemudian.
“Kita pernah membuktikan pada tahun 2008 apabila pemain import dilarang beraksi dalam liga. Kesannya pada tahun 2010, kita berjaya melahirkan rantaian pemain berkualiti dan menjuarai Piala AFF Suzuki.
“Kita tidak perlu meletakkan pemain import sebagai satu-satunya motivasi untuk meningkatkan kualiti liga. Sejarah membuktikan kita mampu membangunkan pemain sendiri sekiranya diberi peluang,” ujarnya.






