am@hmetro.com.my
Butterworth: Kesemua 21 penumpang yang cedera dalam perlanggaran feri Teluk Bahang dengan kapal tangki MV Mekar Jaya, malam tadi, tidak mengalami kecederaan serius dan sudah menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, semua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya, 11 mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) menggunakan ambulans, manakala 10 lagi memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital berkenaan atas usaha sendiri.
“Daripada 10 mangsa itu, hanya tujuh yang hadir ke HSJ untuk mendapatkan rawatan.
“Keseluruhannya, 18 pesakit menerima rawatan di Jabatan Kecemasan HSJ dan semuanya mengalami kecederaan ringan.
“Tiada seorang pun mangsa yang memerlukan kemasukan ke wad susulan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Perlanggaran berlaku kira-kira jam 8.40 malam tadi apabila feri Teluk Bahang bertembung dengan kapal tangki MV Mekar Jaya dalam kawasan perairan Pelabuhan Pulau Pinang.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, kapal tangki berkenaan dalam perjalanan dari Jeti Air Dalam, Butterworth menuju ke Terminal Kapal Persiaran Swettenham, manakala feri Teluk Bahang pula menuju ke Terminal Feri Sultan Abdul Halim.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri setakat ini hanya menerima laporan awal berhubung kejadian dan masih menunggu hasil siasatan.
“Setakat ini, kerajaan negeri hanya menerima laporan awal (yang tidak ada perkara baharu berbanding apa yang sudah dilaporkan) dan kita sedang menunggu hasil siasatan bagi menentukan punca serta butiran lain berkaitan kejadian.
“Jadi, kita tunggu hasil siasatan,” katanya ketika dihubungi.
Beberapa video kejadian turut tular di media sosial, memaparkan penumpang yang cedera serta motosikal yang tumbang di dalam feri selepas perlanggaran berlaku.
Bagaimanapun, perkhidmatan feri terus beroperasi seperti biasa dan tidak terjejas akibat kejadian berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
