NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung peningkatan angka kematian orang awam di Semenanjung Gaza.
Badan dunia itu turut, ‘menunding’ kepada serangan udara dan operasi ketenteraan Israel yang berterusan dan berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata di wilayah berkenaan.
“Kami amat bimbang terhadap kesan ke atas orang awam berikutan serangan udara Israel yang berterusan,” kata Jurucakap PBB, Stephane Dujarric kepada pemberita semasa satu sesi taklimat.
Dujarric merujuk laporan terbaharu yang mendedahkan bahawa seorang kanak-kanak lelaki adalah antara yang terkorban, manakala satu serangan lain telah merosakkan kompleks Hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah.
Sumber perubatan mengesahkan bahawa seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan seorang pemuda maut baru-baru ini.
Kejadian itu berlaku apabila tentera Israel membedil sekumpulan penduduk awam. Dujarric menegaskan bahawa orang awam dan infrastruktur awam mesti sentiasa dilindungi.
Selain keganasan secara langsung, PBB turut memberi amaran bahawa usaha untuk membuat persiapan menghadapi musim hujan yang kian menghampiri kini terhalang.
Pihak berkuasa tempatan telah memetakan risiko banjir di ratusan kawasan di seluruh Gaza.
Dujarric menambah bahawa kekurangan minyak enjin, jentera berat dan alat ganti turut menjejaskan usaha kemanusiaan di lapangan.
Perjanjian gencatan senjata yang ditaja oleh Amerika Syarikat (AS) mula berkuat kuasa di Semenanjung Gaza pada Oktober tahun lalu yang bertujuan untuk menghentikan pertempuran selama lebih setahun antara Israel dan Hamas.
Sejak itu, pencerobohan dan pelanggaran gencatan senjata secara berulang oleh pihak Israel telah mengorbankan lebih 1,000 penduduk Palestin di seluruh wilayah berkenaan dan mencederakan lebih 4,300 yang lain, menurut angka yang dipetik oleh PBB. – AGENSI
