Grealish kembali ke Everton dengan misi baharu


London: Jack Grealish kembali menyertai Everton secara pinjaman selama semusim daripada Manchester City, dengan kedua-dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) mengesahkan perpindahan itu lewat semalam selepas aksi pertama pemain sayap berkenaan di Merseyside musim lalu terhenti akibat kecederaan.

Pemain berusia 30 tahun itu memberi impak ketika menjalani tempoh pinjaman pertamanya musim lalu apabila dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Bulanan EPL bagi Ogos, selain menyumbang dua gol dan enam bantuan gol dalam 22 penampilan dalam semua pertandingan.

Bagaimanapun, kempen Grealish berakhir lebih awal selepas dia mengalami kecederaan kaki pada Januari.

“Saya melalui tempoh yang sangat baik di sini untuk enam bulan pertama, kemudian saya kekal di sekitar pasukan selepas mengalami kecederaan. Saya menonton semua perlawanan Everton pada aksi pramusim dan sejak musim bermula,” katanya.

Grealish menyertai Manchester City daripada Aston Villa dengan yuran perpindahan dilaporkan £100 juta (RM545.84 juta) pada 2021. Sepanjang berada di Stadium Etihad, dia membantu kelab itu memenangi tiga kejuaraan EPL, Piala FA dan Liga Juara-Juara (UCL).

Dia juga teruja untuk kembali bekerja di bawah kendalian David Moyes di Everton.

“Saya pernah bekerja dengan beberapa pengurus sebelum ini dan saya merasakan saya bermain pada tahap terbaik di bawah kendalian mereka dan dia pasti termasuk dalam kategori itu.

“Kini saya rasa sudah bersedia untuk beraksi. Saya bersedia memulakan latihan esok dan membuat persiapan menghadapi perlawanan,” kata Grealish.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top