am@hmetro.com.my
Nilai: Polis menafikan berlaku kejadian tembakan berdekatan Dataran Nilai, di sini, malam tadi, sebaliknya rakaman yang tular adalah proses tangkapan ke atas empat individu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, empat suspek termasuk dua adik-beradik itu ditahan selepas didapati terbabit kes samun di Johor.
“Pagi ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai terkesan satu video tular di media sosial memaparkan operasi tangkapan oleh pasukan polis di kawasan Dataran Nilai, Putra Point, di sini.
“Operasi ini hanya membabitkan tindakan menahan suspek yang cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan kecil sebelum semuanya berjaya ditahan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tiada kejadian melepas tembakan berlaku ketika operasi tangkapan dijalankan seperti yang didakwa di media sosial.
Johari berkata, hasil operasi, polis berjaya menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 22 hingga 28 tahun yang disyaki terbabit dalam kes samun dan ragut di Sagil, Tangkak, Johor.
“Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada rampasan dua kenderaan termasuk Perodua Myvi yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
“Turut dirampas beberapa unit telefon bimbit dan barangan lain yang dipercayai berkaitan dengan kes yang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.
Justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi berkaitan video tular itu yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd






