New Delhi: Polis Palanpur Barat di Gujarat, membongkarkan satu rangkaian pemerdagangan manusia dan serangan seksual kejam yang didalangi oleh seorang lelaki terhadap isterinya sendiri, lapor portal NDTV.
Kejadian yang pada awalnya bermula sebagai siasatan biasa berhubung laporan orang hilang akhirnya merungkai kisah gelap penuh pengkhianatan, ketamakan dan kekejaman.
Dalang utama di sebalik keseluruhan operasi itu dikenal pasti sebagai suami mangsa, Nikesh Patel yang didakwa sanggup memperdagangkan kebebasan dan maruah isterinya sendiri dengan harga hanya 50,000 rupee (RM2,070) kerana tidak menyukai wanita berkenaan.
Konspirasi itu mula terbongkar pada 19 Mei apabila Nikesh Patel, penduduk Ganeshpura, hadir ke Balai Polis Palanpur Barat untuk membuat laporan dengan mendakwa isterinya hilang secara misteri.
Dalam tindakan yang kini disifatkan polis sebagai percubaan terancang untuk mengelakkan syak wasangka pihak berkuasa dan mengelirukan siasatan, Patel menampilkan dirinya sebagai suami yang sedih dan terdesak mencari bantuan.
Bagaimanapun, ketika penyiasat meneliti garis masa kehilangan itu dengan lebih mendalam di bawah pengawasan terus Timbalan Superintendan Polis Dr Jignesh Gamit, pelbagai percanggahan mula ditemui dalam kenyataan suami mangsa.
Selepas disoal siasat secara berterusan oleh polis, Patel akhirnya mengaku melakukan jenayah itu.
Dia memberitahu polis disebabkan tidak menyukai isterinya, dia berpakat dengan rakan-rakannya untuk ‘menyingkirkan’ wanita itu melalui satu urusan kewangan.
Berbekalkan butiran mengejutkan daripada pengakuan itu, pihak polis melancarkan operasi menyelamat dan berjaya mengesan lokasi persembunyian mangsa, menyelamatkannya serta membawanya ke tempat selamat.
Selepas diselamatkan, wanita yang mengalami trauma itu memberikan keterangan menyayat hati mengenai penderitaannya kepada pihak berkuasa.
Dia mendakwa sepanjang ditahan, individu yang terbabit dalam sindiket pemerdagangan manusia itu melakukan serangan seksual mengerikan serta merogolnya secara berkumpulan.
Selain itu, mangsa turut mendakwa pelaku merampas semua barang kemas miliknya sebelum menjualnya demi keuntungan.
Patel bersama beberapa rakan subahatnya yang dikenal pasti sebagai Sanjay Thakor, Ashok Thakor dan Sachin Darbar dipercayai merancang lebih awal urusan itu sebelum menjual wanita itu kepada pembeli dengan harga 50,000 rupee (RM2,070).
Menurut siasatan, kumpulan itu memperdayakan mangsa dengan alasan mahu pergi melancong sebelum membawanya ke lokasi terpencil dan menyerahkannya kepada individu lain yang kemudian mengurungnya secara paksa.
Susulan kenyataan mangsa, polis membuka kertas siasatan mengikut peruntukan undang-undang berat membabitkan pemerdagangan manusia, rogol berkumpulan, rompakan dan konspirasi jenayah.
Seramai tujuh suspek termasuk suami mangsa Nikesh Patel, Sanjay Thakor, Ashok Thakor serta Sachin Darbar berjaya ditahan dan kini dipenjarakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd





