Kerajaan Negeri Selangor bersedia memudah cara serta mempercepatkan proses urusan tanah bagi pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, projek itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk di daerah Petaling khususnya di Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong.
Menurut beliau, KKM bersama agensi kerajaan negeri termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Daerah dan Tanah Petaling serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan mengadakan lawatan tapak dalam masa terdekat.
“Kerajaan negeri menyambut positif pemaklumkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkenaan persetujuan lokasi tapak yang dicadangkan untuk pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya.
“Keputusan ini susulan daripada mesyuarat penyelarasan terkini pada 14 Mei melibatkan agensi Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly Ahmad sebelum ini memaklumkan proses pemilihan tapak telah diselaras bersama kerajaan negeri dan agensi berkaitan melalui beberapa siri mesyuarat.
Amirudin berkata lokasi dicadangkan itu dilihat amat sesuai dari segi akses, kos tanah serta kedudukan berhampiran kawasan berpenduduk padat.
Hospital berkenaan yang dicadangkan berkapasiti 500 katil itu akan dibangunkan secara konsep vertikal seperti Hospital Ampang bagi mengoptimumkan penggunaan tanah serta kos pembinaan.
Beliau berkata usaha mengenal pasti tapak hospital itu telah digerakkan sejak 2018 susulan peningkatan populasi di daerah Petaling yang kini mencecah 2.3 juta penduduk.
Di Petaling Jaya sahaja, lebih 800,000 penduduk kini bergantung kepada Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam serta Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan tapak di Taman Medan seluas enam hektar yang menempatkan kompleks sukan moden antara lokasi yang dicadangkan bagi pembinaan hospital berkenaan.





