Seremban: DAP menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dengan hati terbuka dan menghormati mandat yang diberikan rakyat menerusi proses demokrasi.
Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Nga Kor Ming berkata walaupun keputusan itu tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH) seperti yang diharapkan namun gabungan tersebut menerimanya dengan penuh rendah hati dan akan melakukan penilaian menyeluruh bagi memperbaiki kelemahan.
“Kekalahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dan Repah merupakan satu pengalaman yang amat sukar dan pahit buat kami.
“Namun, PH tidak akan berputus asa. Sebaliknya, kami akan bermuhasabah dan melakukan penilaian secara mendalam supaya mencari jalan mencapai kemenangan di Negeri Sembilan pada masa depan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata DAP akan terus berpegang teguh pada perjuangan parti, mengharungi cabaran bersama- sama dan melangkah ke hadapan dengan penuh keazaman sebagai satu pasukan.
“DAP bersama-sama PH akan terus berkhidmat untuk rakyat dengan penuh komited dan berusaha meraih semula keyakinan serta sokongan rakyat melalui prestasi bekerja dan rekod perkhidmatan,” katanya.
Nga turut merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke atas kepimpinan beliau sepanjang tempoh kempen PRN, yang menurutnya telah melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi dan bersama-sama jentera parti sehingga ke saat-saat terakhir.
Loke, yang bertanding di DUN Chennah, tewas kepada calon MCA Siow Kong Choon dengan majoriti 688 undi manakala penyandang kerusi DUN Repah S.Veerapan tewas tipis kepada calon BN Koh Kim Swee dengan majoriti 444 undi.
Dalam pada itu, Nga turut merakamkan penghargaan kepada semua pengundi Negeri Sembilan yang memberikan sokongan kepada PH pada PRN kali ini.
“Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengundi dan petugas pilihan raya Negeri Sembilan yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia,” katanya.
DAP memenangi sembilan daripada 11 kerusi DUN yang ditandingi pada PRN Negeri Sembilan ke-16.
© New Straits Times Press (M) Bhd






