BARCELONA dan Newcastle United dilaporkan telah mencapai persetujuan membabitkan yuran perpindahan melebihi £69 juta (AS$92.66 juta) bagi pemain antarabangsa England, Anthony Gordon, lapor PA Media/dpa.
Sumber di Tyneside memaklumkan bahawa gergasi Catalan itu bertindak pantas dalam usaha mendapatkan pemain berusia 25 tahun itu selepas muncul laporan bahawa rundingan telah dibuka dengan Newcastle.
Juara Sepanyol itu difahamkan bersetuju membayar lebih €80 juta, bersamaan kira-kira £69.3 juta, kepada kelab Liga Perdana Inggeris itu bagi mendapatkan khidmat Gordon, pemain yang mereka perhatikan secara dekat ketika aksi Liga Juara-Juara musim ini.
Perkembangan itu dijangka mengecewakan Bayern Munich yang turut berminat mendapatkan Gordon, selain beberapa lagi kelab yang menjadi pencabar.
Perpindahan itu juga akan menyaksikan Newcastle memperoleh keuntungan besar daripada £45 juta yang dibayar kepada Everton untuk mendapatkan Gordon pada Januari 2023, ketika kelab itu sedang merombak semula pasukan selepas kempen yang mengecewakan.
Pengurus Newcastle, Eddie Howe, dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengakui terdapat kemungkinan Gordon meninggalkan kelab itu pada musim panas ini. Gordon turut disenaraikan dalam skuad kendalian Thomas Tuchel bagi menghadapi Piala Dunia.
Spekulasi mengenai masa depan pemain itu telah berlarutan selama dua musim, dengan senarai kelab yang berminat tidak terhad kepada dua gergasi bola sepak Eropah itu sahaja, malah Liverpool juga dilaporkan lama meminatinya.
Gordon memainkan peranan penting dalam kebangkitan semula Newcastle sejak beberapa musim kebelakangan ini, dengan gandingan serangannya bersama Alexander Isak, yang menyertai Liverpool dengan nilai £130 juta musim panas lalu, serta Jacob Murphy membuahkan hasil.
Prestasinya turut menjadi antara faktor utama membantu Newcastle menamatkan penantian 70 tahun untuk menjulang trofi domestik utama menerusi kejuaraan Piala Liga musim 2024-25, walaupun beliau tidak beraksi dalam perlawanan akhir akibat penggantungan.
Namun, di sebalik spekulasi berterusan mengenai perpindahannya dari Tyneside, pengaruh Gordon dilihat sedikit merosot musim ini meskipun menjaringkan 17 gol, termasuk 10 gol dalam Liga Juara-Juara, antaranya satu ketika menentang Barcelona.
Ketika spekulasi perpindahan semakin memuncak menjelang penghujung musim, Howe memutuskan untuk tidak menurunkan pemain itu selepas pulih daripada kecederaan dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada perancangan masa depan pasukan. – Bernama





