Faisal Halim diasak pemain Buriram United pada perlawanan Final 1 Kejuaraan Kelab ASEAN Piala Shopee 2025/26 di antara Selangor FC menentang Buriram United di Stadium MBPJ – Foto: Bernama
KETUA pasukan Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim tetap bangga dengan perjuangan dipamerkan Gergasi Merah walaupun tewas 1-2 kepada Buriram United FC pada final kedua Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2025-2026 di Stadium Buriram, Thailand, malam tadi.
Kekalahan itu menyaksikan Selangor bimbingan Kim Pan Gon tewas dengan agregat 1-3 selepas wakil dari Thailand itu turut merakam kemenangan 1-0 pada final pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) minggu lepas.
Mohamad Faisal berkata, Selangor telah memberikan segala-galanya dalam usaha memburu gelaran juara, namun mengakui momentum pasukan sedikit terjejas selepas dibolosi pihak lawan.
“Kami telah mencuba sebaik mungkin, kami memberikan segala-galanya. Dalam 25 minit pertama, kami mengawal perlawanan, mencipta peluang dan berjaya mendapatkan gol.
“Selepas kami dibolosi, agak sukar untuk kami mendapatkan semula momentum untuk terus menekan ke hadapan,” katanya menurut laman web rasmi ACC.
Pemain sayap berusia 28 tahun itu bagaimanapun tetap menyifatkan perjalanan Selangor hingga pentas final sebagai satu pencapaian membanggakan buat pasukan itu.
“Ini adalah pengalaman yang sangat berharga buat pasukan kami, kami telah memberikan yang terbaik. Berjaya sampai tahap ini merupakan satu pengiktirafan besar dan kami akan terus bekerja keras untuk masa depan,” kata pemain skuad Harimau Malaya itu.
Pada aksi malam tadi, Selangor terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Muhamad Syahir Bashah pada minit ke-18 sebelum Buriram bangkit membalas melalui Suphanat Mueanta (minit ke-27) dan Theerathon Bunmathan (minit ke-55) untuk mempertahankan kejuaraan ACC.
Kekalahan di pentas final itu meleburkan impian Selangor dan para penyokongnya untuk menjulang trofi musim ini. – Bernama





