Lonjakan mendadak jualan jersi kelab berpangkalan di Riyadh itu didorong oleh impak luar biasa Cristiano Ronaldo.
KELAB gergasi Arab Saudi, Al-Nassr melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menembusi kelompok 10 kelab bola sepak terbaik dunia bagi kategori jualan jersi terlaris sepanjang musim ini.
Menerusi kajian yang dijalankan oleh agensi penyelidikan sukan terkenal, Euromericas Sport Marketing, Al-Nassr dilaporkan telah menjual lebih 1.2 juta helai jersi di seluruh dunia, seiring dengan kejayaan mereka merangkul kejuaraan Liga Pro Saudi.
Kajian berkenaan mendedahkan bahawa lonjakan mendadak jualan jersi kelab berpangkalan di Riyadh itu didorong oleh impak luar biasa Cristiano Ronaldo.
Pengaruh besar Ronaldo menerusi jutaan pengikutnya di media sosial telah mentransformasikan jersi Al-Nassr sebagai ikon pemasaran global sekali gus menarik minat ribuan peminat dan pengumpul jersi di benua Amerika, Asia serta Australia.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Euromericas Sport Marketing iaitu sebuah agensi perundingan terkemuka yang berada dalam senarai lima syarikat terbaik bidang pemasaran sukan di Amerika Latin, gergasi Sepanyol, Real Madrid kekal menerajui carta global.
Juara Eropah itu mencatatkan jualan melebihi 3.13 juta jersi, hasil daripada daya tarikan komersial barisan bintang mereka termasuk Kylian Mbappe dan Vinicius Junior.
Tempat kedua menjadi milik FC Barcelona dengan rekod jualan 2.94 juta jersi, manakala juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) menduduki tangga ketiga dengan 2.54 juta jersi terjual selepas kejayaan mereka merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara.
Kelab Jerman, Bayern Munich berada di tangga keempat dunia dengan jualan 2.3 juta jersi, diekori rapat oleh kelab Amerika Syarikat, Inter Miami di kedudukan kelima dengan 2.16 juta jersi.
Gergasi Argentina, Boca Juniors menduduki tangga keenam (1.9 juta), diikuti Manchester United (1.85 juta), kelab Brazil CR Flamengo (1.6 juta), dan Chelsea di kedudukan kesembilan dengan 1.4 juta jersi.
Kejayaan Al-Nassr menduduki tangga ke-10 dunia sekali gus meletakkan mereka di tempat keempat dalam kalangan kelab bukan Eropah, selain menjadi satu-satunya kelab dari rantau Arab dan Asia yang berjaya membolosi senarai berprestij antarabangsa itu dengan mengetepikan beberapa nama besar bola sepak Eropah.
Laporan kajian tersebut turut menyamakan fenomena komersial Al-Nassr dengan apa yang berlaku kepada Inter Miami apabila lonjakan mereka ke tangga kelima global dipengaruhi secara langsung oleh Lionel Messi.






