Urus kehidupan baharu sebelum fikir bulan madu

Urus kehidupan baharu sebelum fikir bulan madu


lokman.khairi@hmetro.com.my

Klang: Menangguhkan pelancongan bulan madu selepas perkahwinan demi memastikan ada makanan di atas meja sehingga hujung bulan pertama perkahwinan.

Itu pendekatan diambil pasangan baru berkahwin, Muhammad Ahnaf Raziq Mohd Nor Zakri, 26, dari Bukit Raja dan Intan Shaqira Md Muzi, 25, dari Bukit Kapar yang mendirikan rumah tangga pada 26 Jun lalu.

Penyelia di kilang automatif di Pelabuhan Klang itu berkata, dia dan isterinya yang bekerja di kilang pembuatan di Kapar memilih untuk menangguhkan bulan madu bagi memberi tumpuan menguruskan kehidupan baharu serta memastikan keperluan rumah tangga mencukupi.

Katanya, mereka kini menyewa sebuah rumah teres di Bukit Kapar pada kadar RM1,200 sebulan yang dilengkapi sebahagian perabot seperti katil, almari pakaian, penghawa dingin dan kabinet dapur.

“Saya beli barang keperluan lain seperti beli peti ais, mesin basuh, periuk nasi dan dapur gas, manakala sebahagian lagi kelengkapan rumah diterima sebagai hadiah perkahwinan.

“Baru genap seminggu kami bergelar suami isteri. Buat masa ini cabaran lebih kepada menguruskan rumah, mengemas dan menyusun barang-barang keperluan yang baru masuk.

“Kami belum sempat pergi bulan madu sebab perlu uruskan sebuah lagi majlis walimatul urus pada 26 Julai ini. Selepas majlis itu nanti barulah kami rancang untuk bercuti,” katanya kepada Harian Metro.

Dia berkata, untuk mengawal perbelanjaan, mereka bersarapan di rumah, manakala makan tengah hari di tempat kerja dengan syarikatnya menyediakan makanan percuma di kantin, sementara isterinya membeli sendiri makanan.

Katanya, mereka memasak di rumah atau membeli makanan di luar selepas pulang bekerja bergantung kepada keadaan.

“Anggaran perbelanjaan isi rumah termasuk barang dapur, keperluan peribadi dan kos ulang-alik kerja mencecah kira-kira RM1,000 sebulan, tidak termasuk sewa rumah.

“Kalau dicampur sewa rumah RM1,200 dan ansuran kereta serta motosikal kira-kira RM900, jumlah komitmen bulanan kami sekitar RM3,100.

“Alhamdulillah, dengan pendapatan kami sekarang masih mencukupi dan ada sedikit baki untuk simpanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top