SINGAPURA – Beregu muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai mencipta kejutan pada Terbuka Singapura pada Khamis apabila melangkah ke suku akhir bersama dua lagi pasangan beregu lelaki negara iaitu juara bertahan Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta bekas pasangan nombor satu dunia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani.
Pada aksi pusingan kedua di Stadium Tertutup Singapura, pasangan ranking ke-23 dunia itu yang hanya beraksi dalam kejohanan Super 750 buat kali kedua mengejutkan pasangan raking ketujuh dunia dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-19, 21-17 dalam tempoh 38 minit.
Sebelum itu, Khai Xing-Aaron memulakan kempen dengan menewaskan rakan senegara Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong yang juga berada di ranking ke-23 dunia 21-15, 21-17 pada Selasa lepas.
Mereka seterusnya akan berdepan pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty bagi perebutan tiket ke separuh akhir.
Sementara itu, pasangan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya memerlukan 43 minit untuk menundukkan gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy 21-18, 21-16 sekali gus melangkah ke suku akhir.
Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik dijangka berdepan cabaran getir apabila bakal menentang pasangan China yang berada di ranking kelima dunia Liang Weikeng-Wang Chang.
Sze Fei-Nur Izzuddin pula dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan rakan senegara Junaidi Arif-Yap Roy King 23-21, 16-21, 21-8 dalam tempoh 52 minit.
Mereka akan membuat perhitungan dengan wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri yang berada di ranking ketiga dunia pada aksi suku akhir.
Sze Fei mengakui mereka tidak menampilkan aksi terbaik hari ini, namun bersyukur kerana berjaya bangkit pada set penentuan.
“Saya rasa persembahan kami tidak begitu baik, tetapi perkara positifnya kami mampu bangkit pada set ketiga,” katanya kepada Bernama di zon campuran.
Dalam pada itu, Malaysia turut mencipta keputusan positif dalam acara beregu campuran apabila pasangan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong 22-20, 21-14 dalam tempoh 41 minit.
Pasangan ranking keempat dunia itu akan menentang gandingan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto pada aksi suku akhir.
Bagaimanapun, cabaran beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah terhenti di pusingan ini selepas tewas kepada pasangan adik-beradik Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard 16-21, 19-21 dalam tempoh 37 minit.
Pearly-Thinaah yang berada di ranking kedua dunia mengakui corak permainan mereka kurang menjadi, selain masih bergelut mendapatkan rentak selepas Pearly baru pulih daripada kecederaan yang memaksanya berehat selama dua bulan. – Bernama





