‘Portugal lebih bagus jika Ronaldo tidak bermain’

‘Portugal lebih bagus jika Ronaldo tidak bermain’

‘Portugal lebih bagus jika Ronaldo tidak bermain’


PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi tumpuan menjelang Piala Dunia 2026 apabila bekas pemain Amerika Syarikat yang kini menjadi pengulas bola sepak, Taylor Twellman mendakwa skuad Portugal sebenarnya lebih baik tanpa kehadiran bintang berusia 41 tahun itu di atas padang.

Ronaldo yang dijangka membuat penampilan keenam dan terakhir di pentas Piala Dunia masih memburu satu-satunya trofi utama yang belum pernah dimenanginya sepanjang karier gemilangnya.

Namun, menjelang kejohanan itu, peranan kapten Portugal tersebut kembali diperdebatkan apabila Twellman berpendapat kehadiran Ronaldo mungkin mengganggu keseimbangan skuad kendalian Roberto Martinez.

“Ini adalah pasukan terbaik pernah dimiliki Ronaldo bersama Portugal ke Piala Dunia. Saya fikir Portugal berada pada tahap terbaik jika dia tidak bermain,” katanya kepada ESPN.

Menurut Twellman, Portugal kini memiliki barisan pemain berkualiti di setiap posisi dan tidak lagi terlalu bergantung kepada Ronaldo untuk menjaringkan gol seperti sebelum ini.

Antara tonggak utama yang disebut termasuk Bruno Fernandes, Bernardo Silva dan Rafael Leao selain pilihan serangan lain seperti Goncalo Ramos dan Pedro Neto.

Di benteng pertahanan pula, Portugal diperkuatkan dengan kehadiran Ruben Dias, Nuno Mendes dan Joao Cancelo yang menjadikan mereka antara pasukan paling seimbang menjelang kejohanan itu.

Situasi tersebut mencetuskan pandangan bahawa Portugal lebih sesuai menggunakan corak permainan pantas dan tekanan tinggi yang mungkin tidak lagi sesuai dengan profil fizikal Ronaldo ketika ini.

Walaupun berdepan kritikan, Martinez tetap mempertahankan keputusan menyenaraikan Ronaldo dalam skuadnya dan percaya pengalaman pemain itu masih penting buat pasukan.

Portugal diundi bersama Republik Demokratik Congo, Uzbekistan dan Colombia dalam saingan peringkat kumpulan dan dilihat sebagai pilihan utama untuk muncul juara kumpulan.

Pada Piala Dunia sebelum ini, Portugal tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada Maghribi, manakala pencapaian terbaik mereka dalam era Ronaldo ialah menduduki tempat keempat pada edisi 2006.



Source link

OR

Scroll to Top