29 Mei 2026 01:05pm
Masa membaca: 4 minit
Seorang penyokong tegar Arsenal dilaporkan maut selepas dipercayai dipukul oleh penyokong Manchester United ketika sambutan kejayaan Arsenal. Gambar hiasan
SEORANG penyokong tegar Arsenal dilaporkan maut selepas dipercayai dipukul oleh penyokong Manchester United ketika sambutan kejayaan Arsenal menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) di Kampala, Uganda pada Ahad lalu.
Pasukan kendalian Mikel Arteta menamatkan penantian 22 tahun untuk merangkul trofi EPL selepas menewaskan Crystal Palace 2-1 pada aksi terakhir musim itu.
Kejayaan bersejarah Arsenal mencetuskan sambutan besar-besaran di seluruh Uganda yang terkenal mempunyai kelompok penyokong Arsenal yang ramai.
Namun, kegembiraan itu bertukar tragedi apabila seorang penunggang teksi motosikal berusia 34 tahun, dikenali sebagai Denis maut selepas terbabit dalam pertengkaran di sebuah lokasi tayangan perlawanan.
Jurucakap polis Kampala, Rachel Kawala mengesahkan kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang (waktu tempatan).
Menurut beliau, siasatan awal mendapati Denis yang juga penyokong Arsenal dipercayai bertengkar dengan seorang lelaki dikenali sebagai Musiramu yang dikatakan penyokong Manchester United.
Pertelingkahan itu kemudian bertukar menjadi pergaduhan sebelum suspek didakwa memukul kepala mangsa sehingga terjatuh dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Polis kini melancarkan operasi memburu suspek yang masih gagal dikesan.
EPL sememangnya memiliki pengaruh besar di Uganda dengan penyokong sering memenuhi pusat tayangan awam untuk menyaksikan perlawanan secara langsung di skrin besar.
Bagaimanapun, persaingan sengit antara penyokong kelab bola sepak sebelum ini turut dikaitkan dengan beberapa insiden keganasan di negara Afrika Timur itu.
Media tempatan, Nile Post melaporkan insiden berkenaan sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap budaya keganasan membabitkan penyokong bola sepak, khususnya di kawasan bandar.






