PARIS Saint-Germain (PSG) sekali lagi membuktikan status mereka sebagai kuasa baharu bola sepak Eropah apabila mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara selepas menewaskan Arsenal menerusi penentuan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 hingga tamat masa tambahan di Puskas Arena, Budapest awal pagi Ahad.
Kejayaan itu menyaksikan PSG menyamai rekod jaringan terbanyak dalam satu musim Liga Juara-Juara dengan 45 gol, sekali gus menyamai pencapaian FC Barcelona pada musim 1999-2000.
Namun, berbeza dengan kemenangan bergaya 5-0 ke atas Inter Milan pada final musim lalu, kejayaan kali ini dibina menerusi kesabaran, disiplin dan ketahanan mental ketika berdepan lawan yang begitu sukar ditembusi.
Arsenal bermula cemerlang apabila mendahului seawal minit keenam menerusi jaringan Kai Havertz, sekali gus meletakkan PSG dalam tekanan.
Pasukan bimbingan Luis Enrique menguasai permainan hampir sepanjang perlawanan, namun bergelut menembusi benteng kukuh Arsenal yang hanya melepaskan enam gol dan merekodkan sembilan aksi tanpa bolos sepanjang kempen mereka ke final.
Meskipun menguasai lebih 70 peratus penguasaan bola dan melengkapkan 837 hantaran berbanding hanya 199 oleh Arsenal, PSG gagal mencipta banyak peluang bersih pada babak pertama.
Ketika kebuntuan berterusan, PSG akhirnya memperoleh peluang keemasan pada pertengahan babak kedua apabila Khvicha Kvaratskhelia dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Cristhian Mosquera.
Sepakan penalti itu disempurnakan dengan tenang oleh Ousmane Dembele untuk menghidupkan semula harapan juara Perancis itu.
Kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan dalam masa tambahan sebelum penentuan penalti menjadi pemisah.
PSG akhirnya muncul juara selepas pertahanan Arsenal, Gabriel Magalhaes, gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila rembatannya melambung tinggi.
Luis Enrique memuji ketahanan mental dipamerkan anak buahnya yang tidak panik walaupun ketinggalan awal.
“Antara kekuatan terbesar pasukan ini ialah keupayaan untuk bangkit mengatasi setiap cabaran. Kami percaya kepada diri sendiri dan terus berjuang sehingga berjaya menyamakan kedudukan.
“Kami tahu perlawanan ini sangat sukar dan final ini benar-benar satu pertarungan,” katanya.
Kejayaan itu menjadikan PSG kelab kedua dalam era Liga Juara-Juara yang berjaya mempertahankan trofi selepas Real Madrid.
Lebih membimbangkan pencabar mereka, skuad muda PSG masih mempunyai ruang besar untuk berkembang dan terus mendominasi pentas Eropah.
Bagi Arsenal pula, impian menjulang trofi Eropah pertama mereka tidak kesampaian selepas mengharungi musim yang panjang dengan 63 perlawanan.
Walaupun kecewa, skuad kendalian Mikel Arteta tetap boleh berbangga selepas menamatkan kemarau 22 tahun untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris dan dijangka kembali mencabar PSG pada musim hadapan.- end






