suliati@hmetro.com.my
SEMANGAT kesukarelawanan dan kelestarian alam sekitar dalam kalangan mahasiswa negara sekali lagi mencipta sejarah.
Ia apabila sukarelawan daripada Universiti Awam (UA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) berjaya mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penilaian kesihatan 1,019 pokok hutan di landskap Royal Belum-Temengor, Perak.
Pencapaian itu direkodkan menerusi kategori ‘The Most Trees Assessed In A Forest Health Monitoring Programme’ dalam program ‘Eco Guardian Initiative Programme (eGIP) 2026’ yang berlangsung di UMKTRaCe, Hutan Hujan Royal Belum-Temengor.
Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan ‘Pulau Banding Foundation’ (PBF) itu turut mendapat sokongan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia.
Seramai 249 sukarelawan mahasiswa bersama 30 pegawai MASKUM serta 19 rakan strategik dan penaja terbabit dalam misi pemantauan kesihatan hutan terbesar negara itu.
Majlis penyerahan sijil MBOR disampaikan Pegawai MBOR Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah kepada Pengarah BHEP merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa Hirman Awang.
Menurut Hirman, JPT bersama MAKSUM merangka eGIP 2026 sebagai satu inisiatif strategik dalam memperkukuh agenda penjagaan alam sekitar serta membudayakan kesedaran kelestarian dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat.
Katanya, BHEP JPT turut menyalurkan geran khas RM5,000 kepada setiap 20 UA menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan RM100,000.
“Universiti di bawah keanggotaan MASKUM boleh memohon geran RM5,000 ditawarkan YPS bagi aktiviti yang digerakkan oleh EcoGuardian bagi 2026.
“Ia sekali gus mengangkat nilai kelangsungan eGIP sebagai acara tahunan berimpak tinggi dengan UA awam akan menjadi tuan rumah secara bergilir.
“Program ini menjadi platform melahirkan generasi belia yang bukan sahaja peka terhadap isu alam sekitar, malah mampu bertindak secara proaktif menerusi pendekatan pembelajaran imersifdan pengalaman lapangan secara langsung.
“Menerusi pendekatan ‘living laboratory’ di landskap Royal Belum-Temengor, peserta didedahkan kepada aktiviti konservasi, pemantauan biodiversiti dan tindakan pemuliharaan alam sekitar.
“Ia bagi membina kefahaman lebih holistik terhadap kepentingan menjaga keseimbangan ekosistem dan warisan semula jadi negara,” katanya pada majlis perasmian eGIP: Eco Pledge Penanaman Pokok 2026 dan Penyampaian Sijil MBOR.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK Prof Dr Huzili Hussin yang mewakili Naib Canselor UMK, Pendaftar UMK Khairul Eruwan Ab Halim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Alumni) UMS Prof Dr Raman Noordin dan Pegawai Rasmi MBOR Siti Nurhanim Mohd Noh.
Hirman berkata, program itu tidak hanya tertumpu kepada pengiraan jumlah pokok semata-mata, sebaliknya memperkenalkan pendekatan pemantauan kesihatan hutan yang lebih menyeluruh melalui empat komponen.
Ia membabitkan kesihatan pokok, kesihatan tanah dan persekitaran, pencemaran serta pemerhatian hidupan liar.
© New Straits Times Press (M) Bhd






