CADANGAN 94 artikel dalam draf statut baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membuka perbahasan penting mengenai hala tuju tadbir urus bola sepak negara.
Menurut Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John reformasi itu merangkumi pengurangan ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco), perubahan struktur keahlian, pemerkasaan peranan kelab profesional dan syarat kelayakan lebih ketat bagi calon jawatan tertinggi FAM.
Dari sudut tadbir urus, langkah itu selari dengan amalan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang sejak sekian lama menekankan integriti, ketelusan dan akauntabiliti menerusi semakan latar belakang, konflik kepentingan serta kelayakan calon.
Cadangan tapisan melibatkan aspek integriti dan kewangan bukan sesuatu yang luar biasa.
Sebaliknya, perhatian lebih tertumpu kepada syarat calon perlu mempunyai pengalaman pentadbiran bola sepak selama lima tahun berturut-turut serta berumur di bawah 70 tahun.
Penyokong reformasi berpendapat bola sepak moden memerlukan pemimpin yang memahami ekosistem sukan secara menyeluruh, termasuk pembangunan akar umbi, pelesenan kelab, hubungan dengan FIFA dan AFC serta pengurusan pelbagai pihak berkepentingan.
Namun, pengkritik berhujah bahawa syarat pengalaman lima tahun secara berterusan berpotensi mengecilkan kelompok calon yang layak bertanding.
Dalam keadaan tertentu, individu daripada sektor korporat, akademik, pentadbiran awam atau bekas atlet yang mempunyai rekod kepimpinan cemerlang mungkin tidak memenuhi syarat tersebut walaupun berupaya membawa pembaharuan kepada organisasi.
Persoalan yang timbul bukanlah sama ada integriti perlu diperkukuh – perkara itu hampir tidak dipertikaikan – tetapi sejauh mana syarat kelayakan harus diperketat tanpa menjejaskan prinsip keterbukaan dan persaingan dalam proses pemilihan.
Dalam erti kata lain, reformasi yang berkesan perlu mencari keseimbangan antara memastikan hanya individu berkelayakan dan berintegriti memimpin FAM, tanpa menjadikan proses pemilihan terlalu eksklusif.
Secara umumnya, antara ciri yang sering dikaitkan dengan kepimpinan bola sepak moden ialah pengetahuan mendalam mengenai bola sepak tempatan dan antarabangsa, hubungan baik dengan badan induk bola sepak global, keupayaan bekerjasama dengan kerajaan serta kebolehan mengurus hubungan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk penyokong, media, penaja dan komuniti.
Selain itu, kemahiran komunikasi dan keupayaan membentuk naratif yang positif mengenai pembangunan bola sepak negara turut dilihat semakin penting dalam landskap sukan moden yang berkembang pesat dan mendapat perhatian meluas masyarakat.
Perbahasan mengenai kriteria kepimpinan baharu itu turut mencetuskan spekulasi mengenai individu yang berpotensi menerajui FAM pada masa hadapan.
Antara nama yang disebut-sebut ialah Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang pernah memimpin badan induk itu dari 2018 hingga 2025 sebelum memilih untuk tidak mempertahankan jawatannya pada Kongres Pemilihan FAM tahun lepas.
Bagaimanapun, jawatan itu turut menjadi perhatian Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan bekas penyerang kebangsaan Mohd Safee Sali yang menawarkan diri untuk bertanding, selain beberapa tokoh korporat yang turut dikaitkan dengan kerusi nombor satu FAM.
Semalam, Windsor dalam satu sidang akhbar di sini, memaklumkan AFC mencadangkan 94 artikel dalam draf statut baharu FAM 2026 yang akan dibentangkan pada Kongres Luar Biasa (EGM) FAM Khamis ini.
Pada Januari, semua ahli Exco FAM bagi penggal 2025-2029 mengumumkan peletakan jawatan secara beramai-ramai atas dasar kolektif dan sukarela.
Keputusan itu dibuat secara sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi tanpa kepentingan atau kedudukan peribadi, selain dilihat sebagai langkah berhemah dan berprinsip susulan situasi semasa yang mendapat perhatian umum berhubung isu pemain warisan serta bagi menjaga integriti FAM. – Bernama






